Pengumuman menteri mengelirukan

A
A
A

SELURUH dunia sehingga hari ini masih dalam keadaan suram dan tidak bermaya kerana wabak koronavirus (Covid-19) terus menular dengan cepat dan jumlahnya pula meningkat secara mendadak.

Dalam usaha mengekang penularan wabak itu, seperti juga negara-negara lain di dunia, kerajaan Malaysia telah dan sedang mencuba sedaya upaya menguatkan pelbagai langkah agar keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terjamin.

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan sama ada melalui siaran langsung melalui televisyen ataupun kenyataan akhbar seringkali mengelirukan orang ramai.

Sejak tercetusnya Covid-19 di Malaysia, kerajaan telah melaksanakan undang-undang yang ketat termasuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintaha Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun peraturan-peraturan yang dikenakan amat mengelirukan rakyat.

“Sekiranya semua kementerian dan jabatan kerajaan tidak berbincang serta berkomunikasi dengan baik sebelum membuat sesuatu pengumuman, ia pasti menimbulkan banyak masalah kepada ramai orang.

“Malah, apa yang lebih dikesali adalah kerja-kerja pencegahan jangkitan virus itu akan turut bertambah rumit dan terganggu,” tulis lidah pengarang akhbar Sin Chew Daily.

Sekiranya membaca komen-komen netizen, tidak sukar untuk menunjukkan betapa kecewanya mereka terhadap pengumuman yang dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, ahli-ahli pembangkang turut meminta Ismail Sabri berhenti mengadakan sidang media hariannya jika tiada pengumuman yang dapat membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Adalah penting Majlis Keselamatan Negara perlu memuktamadkan segala prosedur operasi standard (SOP) sebelum dibawa kepada pengetahuan ramai.

“Sebagai contoh, SOP panduan bekerja dari rumah yang diumumkan Ismail Sabri pada Rabu lalu sudah cukup memeningkan ramai orang sehingga tidak tahu peraturan yang mana perlu dipatuhi,” kata akhbar tersebut.

Menurut Sin Chew Daily lagi, beberapa kekeliruan telah dibuat menteri berkenaan, antaranya memberitahu hanya industri yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang perlu mengikuti perintah kerja dari rumah bagi kawasan yang berada di bawah PKPB.

“Selain itu, Ismail Sabri pada awalnya menegaskan bagi pekerja yang tinggal di zon merah yang ingin bekerja di pejabat, mereka perlu melakukan ujian calitan (swab test).

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya, kenyataan beliau telah bertukar apabila menjelaskan ujian tersebut hanya wajib dilakukan bagi pekerja asing yang bekerja dalam sektor pembinaan dan sebagai pengawal keselamatan di zon merah. Bagi golongan pekerja lain, ia tidak lagi dikenakan sebagai wajib sebaliknya ‘sangat digalakkan’ untuk melakukan ujian itu,” tulis akhbar Cina itu.

Akhbar itu sekali lagi berharap kerajaan jangan terlalu kerap mengubah sesuatu keputusan pada saat-saat akhir sebaliknya perlu memikir sedalam-dalamnya sebelum membuat pengumuman rasmi untuk pengetahuan umum.

“Berlakunya kenyataan demi kenyataan yang berubah-ubah itu membuktikan komunikasi antara kementerian tidak dibuat secara selaras.

“Akhirnya yang menjadi mangsa keadaan adalah rakyat yang dihantui rasa bingung dan akhirnya mereka meluahkan kemarahan dalam media sosial,” jelas akhbar itu lagi.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar harian