Belanjawan 2021 yang sukar

A
A
A

RAKYAT jelata tidak ada pilihan melainkan menerima keadaan yang ada dan berharap yang terbaik akan berlaku dalam apa keadaan sekalipun.

Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pesekongkolnya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu, dua gejala global iaitu perang dagang Amerika-China dan penularan koronavirus (Covid-19) sudah pun bermula.

Jadi, beliau dan setiap orang yang terlibat dengan the scheme of things dari bawah hingga atas tentunya tahu atau setidak-tidaknya menjangka masalah ekonomi dan kewangan yang perlu ditangani.

Maka, dari awal lagi timbul persoalan sama ada beliau benar-benar menyedari bala ekonomi yang sedang dan bakal melanda apabila beliau menubuhkan Kabinet besarnya dan melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan. Beliau adalah orang luar dunia politik dengan kepakaran korporatnya yang boleh dikatakan terhad kepada perbankan.

Berbeza dengan pengalaman kita ketika krisis ekonomi sebelum ini apabila kerajaan melantik Menteri Kewangan yang paling berwibawa iaitu Tun Daim Zainuddin (1984-1991 dan 1999-2001), Muhyiddin pula melantik seorang yang tiada pengalaman dalam pengurusan ekonomi dan fiskal.

Jadi, dalam kita menuju kepada sesi Belanjawan 2021 di Parlimen mulai Isnin, 2 November, harapan kita adalah masalah negara dan rakyat ditangani sebaik-baiknya.

Tidak kira apa yang akan berlaku dalam politik, penyediaan belanjawan tahunan adalah wajib. Maka, tidak hairanlah jika pihak-pihak yang faham ekonomi dan kewangan amat bimbang.

Pertama, kedudukan kewangan kerajaan akan menjadi bertambah mencabar atau dalam bahasa harian, lebih lemah. Kerajaan tentunya tidak dapat memungut cukai dan membuat keuntungan pelaburan seperti biasa dalam keadaan semakin banyak perniagaan terjejas dan ramai hilang sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan telah mula menjual sebahagian saham miliknya dalam syarikat-syarikat kumpulan Khazanah Nasional Berhad bagi mendapatkan hasil dan mengurangkan beban hutang.

Kedua, hutang akan menjadi isu besar kepada kerajaan. Dengan hasil cukai yang berkurangan dan perbelanjaan meningkat, ia tidak ada pilihan melainkan berhutang dengan lebih banyak. Seperti yang saya sebutkan berulang kali, hasil cukai kerajaan hanya cukup untuk membayar gaji dan pencen kakitangan awam, menyelenggara perkhidmatan dan membayar balik hutang. Untuk pembangunan, kerajaan terpaksa berhutang.

Pada bulan Jun lalu, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan akan meminjam sehingga RM37 bilion daripada pasaran tempatan bagi membiayai sebahagian daripada RM295 bilion pakej rangsa-ngan ekonomi.

Sebahagian hutang baharu itu adalah untuk membayar balik hutang lama termasuk hutang 1MDB. Bulan lalu, Tengku Zafrul memberitahu Parlimen bahawa baki hutang 1MDB setakat 15 Julai tahun ini adalah sebanyak RM41.36 bilion. Itu belum diambil kira masalah ekonomi dan kewangan lain ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN), khususnya ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia termasuklah penggadaian tanah peneroka Felda seluas 350,000 hektar selama 99 tahun kepada FGV Holdings Berhad pada tahun 2012 dan pembelian paksa saham syarikat perladangan Eagle High di Indonesia oleh Felda.

Semasa pentadbiran PH selama 22 bulan, isu tersebut dan beberapa isu lain seperti masalah kewangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) telah mula ditangani. Begitu juga rundingan telah dimulakan bagi menjual saham FGV milik Felda dan beberapa buah lagi tabung berkaitan kerajaan (GLIC) kepada pelabur swasta bumiputera bagi mendapatkan balik tanah peneroka.

Itulah kemelut politik dan ekonomi yang terpaksa kita hadapi buat beberapa tahun, setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang. Untuk jangka masa panjang, kita memerlukan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang berpandangan jauh, futuristik dan bebas daripada legasi masa lampau.

Generasi muda yang akan mendapat kuasa mengundi pada usia 18 tahun mulai pilihan raya umum akan datang wajib memikir dan melaksanakan pembersihan Malaysia daripada gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan legasi politik perkauman.

Mereka memerlukan sebuah kerajaan masa depan – the government of the future – yang benar-benar mengutamakan rakyat jelata, tua dan muda. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara