UMNO Johor minta perjelaskan Perkara 150

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor meminta kerajaan Pusat menjelaskan penggunaan peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan iaitu membabitkan pengisytiharan darurat.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, tindakan meminta penjelasan itu diputuskan menerusi mesyuarat UMNO negeri hari ini.

"Apa diputuskan dalam mesyuarat kita hari ini berkenaan keperluan penggunaan Perkara 150 yang perlu diperjelaskan kepada semua rakyat.

"Sekarang ini, perkara tersebut belum diberikan penjelasan secara menyeluruh," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

UMNO Johor turut tidak bersetuju jika Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan ketika wabak koronavirus (Covid-19) belum ditangani dan ketika ekonomi negara masih lembab.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata, sekiranya Dewan Rakyat terbubar UMNO berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu menasihatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang keadaan dan perkara berkaitan keputusan pembubaran Parlimen.

"Jadi untuk saya mengatakan bahawa kita juga membubar DUN itu adalah tertakluk kepada bila dan dalam keadaan Dewan Rakyat terbubar," katanya.

Selain itu, Hasni berkata, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri untuk memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang lebih demi kebajikan rakyat berdepan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan: