Pusat Zakat Sabah tambah bantuan bulanan

Mohd Ariffin (kiri) melawat runtuhan tanah runtuh di lereng bukit Masjid Al-Falah Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.
Mohd Ariffin (kiri) melawat runtuhan tanah runtuh di lereng bukit Masjid Al-Falah Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pusat Zakat Sabah bersetuju untuk memberi bantuan khas tambahan sebanyak RM100 kepada penerima bantuan bulanan bagi meringankan beban dalam menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM960,000 kepada golongan asnaf oleh Pusat Zakat Sabah.

"Kepada golongan asnaf memang ada program dibuat oleh Pusat Zakat Sabah dan untuk sepanjang Covid-19 ini, Pusat Zakat Sabah bersetuju untuk menambah bantuan bulanan yang diberikan sebanyak RM100," katanya kepada media selepas membuat lawatan Masjid Al-Falah di Kepayan hari ini.

Mengulas lanjut berhubung usaha untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 di Sabah, Mohd Ariffin berkata, sebanyak RM1.3 juta juga diberikan kepada pihak hospital yang memerlukan bantuan segera.

"Kita juga memberikan bantuan 'one-off' sebanyak RM500 kepada pekerja yang menyelenggara jenazah (fardu kifayah)," katanya.

Mohd Ariffin berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam perbincangan baru-baru ini dan akan dimaklumkan kepada semua penerima bantuan di negeri ini.

Sementara itu, mengulas berhubung lawatan beliau hari ini, Ariffin berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengemukakan cadangan sebanyak RM2 juta kepada kerajaan negeri untuk pembinaan tebatan lereng bukit Masjid Al Falah di Kepayan.

Beliau berkata, pihaknya ada dua perancangan iaitu jangka pendek dan jangka panjang yang segera diambil oleh pihak JKR.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan dapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk memperkukuhkan struktur bukit masjid ini dan diharap dapat mengatasi masalah ini dari segi jangka masa panjang.

"JKR sudah mengemukakan sebanyak RM2 juta untuk ini," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Al-Falah Kepayan, Abdul Malex Chua; Penaung masjid, Tan Sri Khalil Jamalul, Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul dan Timbalan Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.