X

Kindly register in order to view this article
!

35 lagi warga STIAS disahkan positif Covid-19

Seramai 98 individu dari STIAS telah dijangkiti Covid-19 sehingga hari ini.
A
A

SEREMBAN - Seramai 38 lagi individu membabitkan 35 pelajar dan tiga kakitangan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang disahkan positif Covid-19 hari ini.

Jumlah itu menjadikan seramai 98 individu dari STIAS telah dijangkiti Covid-19 sehingga hari ini.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak berkata, pertambahan bilangan mereka yang positif Covid-19 itu adalah hasil ujian saringan yang dilakukan pada Selasa lalu ke atas seramai 127 pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan.

"Bagaimanapun kesemua yang positif tidak menunjukkan sebarang gejala kecuali tiga pelajar yang mengalami gejala.

"Kesemua pelajar yang positif telah pun dipindahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke pusat kuarantin kira-kira jam 4.15 petang tadi, manakala pelajar yang masih menunggu keputusan saringan kekal ditempatkan di bilik kuarantin di asrama sekolah," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Menurutnya, pihak sekolah sentiasa memberi kerjasama dan mengikuti setiap langkah-langkah yang disyorkan KKM sepanjang tempoh kuarantin dengan membuat pengasingan pelajar yang masih menunggu keputusan saringan.

Beliau berkata, setiap kemudahan para pelajar juga diasingkan termasuk asrama, bilik air dan tempat makan bagi mengelakkan jangkitan tersebar kepada mereka yang belum mendapat keputusan saringan.

"Kesemua pelajar yang menjalani kuarantin di asrama sekolah kini berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

"Malah mereka masih meneruskan rutin harian yang telah disusun oleh pihak sekolah iaitu solat berjemaah, meneruskan hafalan al-Quran serta mengulang kaji pelajaran akademik di tempat masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakkan sosial, " katanya.

Abdullah berkata, seramai 40 individu membabitkan 17 pelajar, 16 kakitangan dan tujuh guru yang masih berada di sekolah menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan saringan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pengerusi Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM), Datuk Muhammad Fuad Kamaludin meminta kepada sesiapa yang mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pelajar atau kakitangan bergelajala di STIAS, Senawang agar melakukan langkah pencegahan dengan membuat pemeriksaan doktor atau melakukan kuarantin kendiri di rumah serta-merta.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Memang betul ada pelajar positif Covid-19 di sekolah itu'

STIAS sahkan 33 pelajarnya positif Covid-19

Lagi 18 pelajar STIAS positif Covid-19


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!