Agong sekali lagi tampil corak pemerintahan bijaksana, cekap

Ahmad Farhan Rosli
Ahmad Farhan Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menampilkan corak pemerintahan yang bijaksana dan cekap apabila akan berunding dengan Raja-raja Melayu sebelum membuat sebarang keputusan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, ia boleh dilihat apabila Seri Paduka Baginda tidak terburu-buru membuat keputusan untuk menerima dan melaksanakan syor yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung krisis menangani pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Seri Paduka Baginda berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu dalam masa terdekat yang disifatkan sebagai langkah jitu.

“Dalam membuat sebarang keputusan yang kritikal pada saat-saat getir sebegini, amatlah wajar untuk kita kembali menghidupkan amalan musyawarah kerana inilah semangat demokrasi Malaysia.

Tiada pemusatan kuasa pada satu sosok atau entiti sahaja tetapi turut melibatkan rundingan dan perwakilan setiap pihak yang perlu dititikberatkan dalam urusan pentadbiran negara.

“Seluruh rakyat wajar diberikan peluang untuk menyuarakan pendirian dan bukannya sekadar menerima keputusan pemerintah secara membuta tuli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, darurat bukan keperluan utama kerana wabak Covid-19 dapat ditangani melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat memerlukan kerajaan yang tidak cuai, tegas tanpa sikap berat sebelah dan berani bersemuka dengan rakyat.

“Sekali lagi, PKPIM mengajak seluruh rakyat untuk kekal bertenang. Berikanlah masa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menjalankan urusan Seri Paduka Baginda selaras dengan lunas Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.