Sabtu suram di pusat beli-belah Kota Kinabalu

Norman hanya mengambil pesanan pelanggan di hadapan kedai tanpa membenarkan pelanggan masuk ke dalam premis sebagai usaha syarikat membendung penularan wabak Covid-19 di Sabah.
Norman hanya mengambil pesanan pelanggan di hadapan kedai tanpa membenarkan pelanggan masuk ke dalam premis sebagai usaha syarikat membendung penularan wabak Covid-19 di Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tidak seperti hujung minggu yang biasa, pusat beli-belah di bandar raya Kota Kinabalu yang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hari Sabtu kelihatan lengang hari ini.

Sektor ekonomi dibenarkan beroperasi pada 14 Oktober lalu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun kelihatan kurang memberangsangkan apabila premis di pusat beli-belah terkemuka di negeri ini kurang mendapat kunjungan daripada orang ramai.

Keadaan di salah sebuah pusat beli belah lengang sejak PKPB dilaksana di Sabah.
Keadaan di salah sebuah pusat beli belah lengang sejak PKPB dilaksana di Sabah.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pusat beli belah di sekitar Kota Kinabalu hari ini mendapati hanya sebahagian premis di dalam pusat beli belah itu dibuka untuk tempahan dalam talian atau 'pandu lalu' saja.

Bagaimanapun, ada juga premis dibuka seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun bilangan pengunjung terlalu sedikit.

Pekerja sebuah kedai buku terkemuka, Norman Selit, 35, premis mereka baru saja dibuka semula semalam di pusat beli belah itu walaupun dibenarkan beroperasi sejak lebih seminggu lalu.

"Walaupun premis sudah mulai dibuka, namun syarikat mengambil inisiatif tidak membenarkan pelanggan masuk ke dalam premis sebaliknya hanya mengambil pesanan di hadapan kedai atau secara dalam talian sebelum pesanan diserahkan kepada pelanggan yang datang ke premis ini.

"Ini adalah sebagai usaha kami bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini yang kian meningkat," katanya ketika ditemui di Imago di sini hari ini.

Seorang lagi pekerja kedai aksesori, Ikhwan Ensip, 30, berkata, bilangan pengunjung setiap hari termasuk pada Sabtu tidak seperti biasa sebelum PKPB dikuatkuasakan di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Kedai aksesori tempat Ikhwan bekerja kurang menerima pelanggan sejak PKPB dilaksanakan.
Kedai aksesori tempat Ikhwan bekerja kurang menerima pelanggan sejak PKPB dilaksanakan.

"Kali ini walaupun hari Sabtu, keadaan pusat beli-belah sangat lengang tidak seperti kebiasaannya, malah ada juga masa kami langsung tidak menerima pelanggan walaupun kedai dibuka seperti biasa.

"Keadaan ini mungkin disebabkan orang ramai tidak tahu kedai dalam pusat beli-belah dibenarkan beroperasi dan kemungkinan juga mereka patuh pada nasihat kerajaan supaya tidak keluar rumah jika tiada keperluan," katanya.

Orang ramai tidak dibenarkan memasuki Suria Sabah.
Orang ramai tidak dibenarkan memasuki Suria Sabah.

Sementara itu, tinjauan di Suria Sabah mendapati pusat beli-belah itu ditutup kepada orang ramai namun premis di dalamnya dibuka hanya untuk jualan makanan saja.

Pengawal keselamatan, Amir salim, 73, pusat beli-belah itu dibuka hanya untuk jualan makanan tetapi terhad pada pembelian pandu lalu dan pesanan daripada perkhidmatan penghantar makanan.

Amir (kanan) bersama rakan setugas membuat kawalan di pusat beli belah Suria Sabah bagi memastikan tiada orang awam memasuki pusat beli-belah itu.
Amir (kanan) bersama rakan setugas membuat kawalan di pusat beli belah Suria Sabah bagi memastikan tiada orang awam memasuki pusat beli-belah itu.

."Setakat ini, orang ramai memang tidak dibenarkan masuk dan sebarang aktiviti penjualan makanan dilakukan di luar Suria Sabah iaitu penghantar makanan hanya menunggu di luar untuk mengambil makanan yang dipesan," katanya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini mengeluarkan SOP bagi kawasan PKPB diberi kelonggaran bagi beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sehingga jam 6 petang.