Isu pembesar suara: Larangan selaras ajaran Islam sebenar

 Wan Salim Wan Mohd Noor
Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A
A

GEORGETOWN - Fatwa yang membenarkan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau seluruh negeri ini hanya untuk laungan azan dan iqamat adalah selaras dengan ajaran Islam yang sebenar.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, aktiviti lain seperti bacaan al-Quran, zikir, qiamullail, ceramah dan kuliah dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak.

Ini kerana, katanya, perbuatan tersebut boleh mengganggu orang ramai sama ada muslim atau bukan muslim.

Menurutnya, perlu diketahui bahawa Islam melarang umatnya daripada menyakiti orang lain sama ada secara fizikal mahupun emosi.

"Ini termasuklah memaki hamun, mencerca, mempersenda, menghina, mengganggu ketenteraman dan sebagainya.

"Larangan ini boleh difahami daripada banyak nas al-Qur'an dan hadis, antaranya firman ALLAH SWT dalam ayat 55 surah al-A'raf yang bermaksud: Serulah Tuhan kamu (melalui doa, zikir, munajat dan lain-lain) dalam keadaan menghina diri dan memperlahankan suara, sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampau.

"Maksud yang sama boleh difahami daripada ayat 205, juga dalam surah al-A'raf. Manakala contoh daripada hadis pula kita boleh sebutkan di sini peristiwa Rasulullah SAW beriktikaf bersama para sahabatnya di dalam masjid. Apabila baginda mendengar mereka membaca al-Quran dengan meninggikan suara, baginda lantas bersabda: Setiap orang daripada kalian sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sebahagian menyakiti sebahagian yang lain dengan bacaannya (yang nyaring)." katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Salim berkata, dalam sebuah hadis lain, Nabi Muhammad SAW melarang para sahabat menyaringkan suara dalam munajat atau doa mereka dengan menegaskan ALLAH tidak pekak atau berjauhan daripada mereka.

Artikel Berkaitan:

Jadi, katanya, berdasarkan kepada nas-nas tersebut dan kepada amalan golongan Salafussalih zaman dahulu, maka umat Islam tidak perlu menyaringkan suara ketika membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya, apatah lagi dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau.

"Malah di dalam masjid dan surau pun, jika tiada keperluan seperti memperdengarkan bacaan imam kepada makmum yang ramai, sebaiknya tidak digunakan pembesar suara.

"Umat Islam perlu faham bahawa untuk beribadat kepada Tuhan, mereka tidak wajar menyakiti orang-orang lain. Mereka juga perlu faham perubahan yang berlaku pada zaman kini yang berbeza dengan masa-masa lalu," katanya.

Mengulas mengenai penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di negeri ini, Wan Salim berkata, ia mungkin mengganggu penduduk yang tinggal berdekatan dengan masjid dan surau terbabit.

Menurutnya, sebagai manusia, mereka berhak menikmati kehidupan yang tenang dan tenteram tanpa diganggu dengan kebingitan bunyi dari pembesar suara atau apa jua faktor gangguan.

Malah, katanya, sudah tentu dalam kalangan penduduk itu ada yang sakit, orang tua yang uzur, anak kecil, pekerja yang ingin berehat atau tidur setelah penat bekerja dan pelajar yang mengulang kaji pelajaran.

"Kesemua ini perlu diambil kira demi mencapai keharmonian hidup bermasyarakat.

"Mereka yang hadir di masjid dan surau sahaja yang ingin mendengar ceramah, kuliah dan turut serta dalam program dan aktiviti masjid dan surau. Orang yang tidak hadir di masjid dan surau bererti mereka tidak mahu terlibat dengan program dan aktiviti tersebut," katanya.

Selain itu, Wan Salim berkata, melihat dari sudut dakwah, penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau boleh menjejaskan imej Islam dalam kalangan orang bukan Islam.

"Mereka mungkin salah faham terhadap agama Islam dan beranggapan ia adalah agama yang mengajar umatnya bersikap keakuan, eksklusif dan tidak sensitif kepada kepentingan orang lain.

"Ini boleh menghalang mereka daripada mendekati agama Islam dan cuba memahaminya sebagai agama rahmat untuk sekalian manusia.

"Kesemua ini merugikan usaha-usaha dakwah untuk menarik lebih ramai lagi penduduk Malaysia yang bukan Islam kepada agama kita," katanya.