X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan pertimbang bina jeti baharu APMM Terengganu

Jeti baharu yang lebih sesuai diperlukan untuk menampung kapal yang lebih besar dan menempatkan bot asing dalam tahanan. Gambar keci: Ahmad Amzad Hashim
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedang mempertimbangkan pembinaan jeti baharu bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu yang dilihat tidak lagi dapat menampung kapasiti kapal dan bot, khususnya melibatkan bot asing dalam tahanan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, keperluan jeti baharu itu sudah dibincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said juga telah membuat tinjauan baru-baru ini sewaktu lawatannya ke Terengganu.

Menurutnya, selain masalah jeti APMM di Pulau Kambing yang kecil dan dipenuhi dengan bot asing yang ditahan, isu lokasi jeti juga menjadi antara faktor keperluan yang mendesak.

“Isu kehadiran nelayan asing kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung ini adalah isu besar dan ia bukan semata-mata sebab perikanan sahaja. Ia melibatkan soal keselamatan dan kita ada banyak pelantar cari gali minyak yang memerlukan kehadiran pasukan penguatkuasa.

“Bagaimanapun, masalah jeti yang kecil dan padat menyukarkan pasukan penguatkuasa. Apa yang lebih penting daripada itu adalah selaras dengan program pembangunan APMM sendiri, mereka dalam proses menukar kapal-kapal sebab kebanyakannya sudah usang.

“Kita menuju ke era kapal yang lebih besar iaitu ‘mothership’. Saya difahamkan sepatutnya APMM Terengganu diperuntukkan dengan dua buah ‘mothership’ untuk diletakkan di Terengganu tetapi kerana ada beberapa isu, antaranya isu ‘drawbridge’ dan ketiadaan jeti yang sesuai untuk kapal besar ini,” katanya.

Jeti APMM di Pulau Kambing, Kuala Terengganu dipenuhi dengan lambakan bot asing dalam tahanan.
Jeti APMM di Pulau Kambing, Kuala Terengganu dipenuhi dengan lambakan bot asing dalam tahanan.

Mengulas lanjut, Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, APMM kini sedang mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi pembinaan jeti baharu itu.

Jelasnya, jeti baharu itu mungkin akan dibina di luar ‘drawbridge’ dan beberapa lokasi yang bersesuaian sedang dikenal pasti dengan mengambil kira risiko tiada kapal yang tidak boleh keluar apabila perlu keluar operasi, selain lokasi yang lebih selamat dan sesuai.

“APMM ada menyatakan kalau kerajaan negeri boleh bantu bina, APMM sanggup untuk bayar tetapi ia ada prosesnya. Jadi, ini mungkin boleh dipertimbangkan kerajaan negeri sebab ia boleh menjadi satu hasil kepada kerajaan negeri pula,” katanya.

Sementara itu, Amzad mendakwa, peta hidrografi untuk muara sungai Terengganu kini masih menggunakan peta lama yang belum dikemaskini menyebabkan peta berkenaan menunjukkan muara sungai di Kuala Terengganu cetek.

Jelasnya, jika peta higrografi itu dikemaskini pastinya kapal-kapal yang lebih besar dan kapal mewah boleh memasuki ke kawasan muara.

“Itu antara perkara yang kita kenal pasti. Saya ada maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Universiti Malaysia Terengganu. Insya-ALLAH perkara ini dapat diatasi sekiranya kita dapat melaksanakan peta higrografi yang baharu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!