405 kontak rapat Kluster Umboo disaring sehingga semalam

Rahmad (tengah) menyampaikan bahan promosi kepada Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk Saleh Mohd Dom (kiri) selepas melancarkan Kempen Satu Jam Setiap Sabtu: Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes di Balai Raya Taman Ayer Molek, Melaka hari ini.- Foto Bernama
Rahmad (tengah) menyampaikan bahan promosi kepada Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk Saleh Mohd Dom (kiri) selepas melancarkan Kempen Satu Jam Setiap Sabtu: Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes di Balai Raya Taman Ayer Molek, Melaka hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 405 individu kontak rapat Kluster Umboo terdiri daripada anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pendatang tanpa izin di Depoh Tahanan Machap Umboo di Alor Gajah, telah menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu tiga orang pendatang tanpa izin dan seorang anggota imigresen dikesan positif Covid-19 di depoh berkenaan.

"Sebanyak 187 individu belum mendapat keputusan ujian berkenaan dan bakinya adalah negatif Covid-19.

"Anggota dan pegawai imigresen yang telah disaring perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari namun ada juga antara mereka memilih untuk dikuarantin di depoh berkenaan yang mempunyai tempat kuarantin manakala pendatang tanpa izin turut dikuarantin di situ," katanya.

Beliau berkata selepas pelancaran Kempen Satu Jam Setiap Sabtu: Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes di Balai Raya Taman Ayer Molek di sini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali.

Khamis lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan enam lagi kluster baharu termasuk Kluster Umboo melibatkan seorang individu (kes ke-21,322) yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan di Depoh Tahanan Imigresen pada 18 Oktober lepas.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, individu itu telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan saringan kontak rapat mengenal pasti tiga lagi kes positif melibatkan kluster itu.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesuatu mukim di Melaka tidak akan dilaksanakan kecuali terdapat peningkatan mendadak sehingga mencapai lebih 40 kes di kawasan terlibat dalam tempoh satu atau dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu hasil perbincangan mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Melaka pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, semalam.

"Setakat ini, kes positif Covid-19 di setiap mukim di Melaka masih terkawal. Kes paling tinggi direkodkan ialah sebanyak tujuh kes iaitu di Mukim Chohong di Jasin dan sebanyak 37 kes termasuk empat kes import direkodkan di Melaka dalam tempoh 9 Oktober hingga Khamis lepas," katanya.

Sementara itu, mengenai Kempen Satu Jam Setiap Sabtu: Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes, Rahmad berkata, ia bertujuan memupuk kesedaran dan mendidik komuniti agar sentiasa memastikan persekitaran kediaman mereka bebas daripada tempat pembiakan Aedes.

Katanya, ia adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan ekoran peningkatan kes demam denggi di Melaka sebanyak 23.3 peratus kepada 2,328 kes sehingga minggu epid ke-42 (17 Oktober) berbanding 1,751 kes dalam tempoh sama tahun lepas. - Bernama