Spekulasi darurat: Rakyat tenang-tenang sahaja

Suasana di sebuah pasar raya di Selangor tenang tanpa pembelian panik oleh orang ramai.
Suasana di sebuah pasar raya di Selangor tenang tanpa pembelian panik oleh orang ramai.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang pembelian panik biarpun semalam negara digemparkan dengan desas-desus pelaksanaan darurat oleh kerajaan susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan di Pahang petang semalam.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah pasar raya di sekitar negeri ini mendapati aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.

Rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan mereka keliru dengan desas-desus yang diperkatakan itu.

Pengunjung pasar raya, Abdullah Ahmad, 45, berkata, setakat ini dia keluar membeli barangan keperluan harian mengikut prosedur operasi standard(SOP) yang ditetapkan.

Orang ramai membeli-belah seperti biasa mengikut SOP ditetapkan kerajaan tanpa perasaan panik.
Orang ramai membeli-belah seperti biasa mengikut SOP ditetapkan kerajaan tanpa perasaan panik.

"Saya keluar seorang, anak dan isteri memang saya tak bawa keluar sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini ditetapkan, bukan apa dengan keadaan kes Covid-19 memang risau nak bawa keluarga keluar.

"Tentang desas-desus mengenai pelaksanaan darurat ini bagi saya tidak ada apa yang perlu dirisaukan sebab setakat ini tiada sebarang pengumuman dibuat, suasana di pasar raya juga seperti biasa, tak ada pun bersesak-sesak," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Arshad Zainal, 29, berkata, suasana pasar raya yang dikunjunginya dalam keadaan tenang dan tiada pembelian panik oleh orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun hari ini berniaga seperti biasa, saya datang sebab nak beli barang keperluan untuk berniaga. Saya rasa semua masih menunggu pengumuman selanjutnya selepas ini," katanya kepada Sinar Harian.