X

Kindly register in order to view this article
!

Alasan darurat untuk elak hilang kuasa

Shamsul Iskandar
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat pentadbiran bukannya untuk memerangi Covid-19, sebaliknya mahu mengelak kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang secara sah dan demokratik.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, cadangan itu amat aneh kerana ia mahu dilaksanakan ketika negara berada dalam keadaan aman.

Justeru, katanya, PKR menegaskan bahawa kerajaan PN tidak wajar memperjudikan ekonomi seramai 32 juta rakyat Malaysia hanya kerana takut kehilangan kuasa.

"Darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul yang dijadualkan pada persidangan bermula 2 November depan tidak akan berlaku. Ini termasuk usul undi tidak percaya yang perlu dihadapi Perdana Menteri.

"Bahkan, sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baharu boleh dilantik.

"Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelakkan kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian untuk meluluskan apa jua usul di Parlimen?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, PKR juga berpendapat bahawa wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, di samping akta-akta sedia ada tanpa perlu diisytiharkan darurat.

Menurutnya, pemerintahan darurat tidak akan menjadikan pentadbiran Malaysia lebih baik sebaliknya hanya akan menjadikan Malaysia setaraf negara Afrika yang bergolak dan ditadbir oleh seorang diktator.

"Sesungguhnya negara kita Malaysia tidak perlukan darurat hanya kerana karier politik Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN yang berada dalam keadaan genting, meruncing lagi darurat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!