193,731 saman trafik warga asing belum dibayar

Ayob Khan meninjau keadaan orang ramai di Kaunter Semakan dan Bayaran Saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.
Ayob Khan meninjau keadaan orang ramai di Kaunter Semakan dan Bayaran Saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak 193,731 saman tertunggak membabitkan kenderaan warga asing di negeri ini direkodkan sehingga 30 September tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini sebanyak 262,272 saman trafik telah dikeluarkan kepada warga asing termasuk dari Singapura melibatkan pelbagai kesalahan.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 68,860 orang atau 26 peratus warga asing yang telah menjelaskan saman tersebut.

"Setakat ini, tiada waran tangkap dikeluarkan kepada pemandu warganegara Singapura. Ini kerana pembayaran boleh dibuat menerusi dalam talian.

"Namun jika rakyat negara itu yang belum bayar, polis akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk sempadan dan mereka diarahkan bayar saman di balai polis berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kaunter Semakan dan Bayaran Saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, sebanyak 3,564 kompaun dikeluarkan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) koronavirus (Covid-19) sehingga kini.

"Pematuhan rakyat Johor semakin meningkat dan tiada kes lagi melanggar kuarantin seperti mana berlaku di negeri lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu wujud ada kluster baharu di Johor. Oleh itu, semua sentiasa patuh bagi elak penularan Covid-19," katanya.