Anwar perlu rujuk Perlembagaan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta merujuk Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan darurat yang hangat diperkatakan sejak semalam.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, pandangan Anwar semalam yang mengatakan darurat itu langkah terkebelakang kerajaan yang memungkin kediktatoran adalah sama seperti pandangan orang biasa.

Menurutnya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya menunggu sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Jangan hukum sebelum perkara berlaku, dia ramal kemudian dia jatuh hukum, itu tak baik.

"Belum tahu lagi kerajaan akan buat apa tapi dah jatuh hukum. Pada saya itu tak beretika," katanya selepas meninjau Program MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas Setapak di sini hari ini.

Annuar meninjau Program MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat Air Panas Setapak di Kuala Lumpur hari ini.
Annuar meninjau Program MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat Air Panas Setapak di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Mengulas lanjut, menurut Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 150, darurat mempunyai banyak jenis termasuk soal keselamatan, ekonomi dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

"Pentaksirannya perlu merujuk kepada pakar undang-undang.

"Adakah (koronavirus) Covid-19 ini tak boleh masuk dalam kategori darurat atau keselamatan? Sebanyak 32 negara telah pun mengisytiharkan darurat, hanya Malaysia belum laksanakan sebab kita fikir boleh uruskan dengan cara biasa.

"Itu pun saya tak kata negara akan isytihar darurat. Walaupun saya anggota Jemaah Menteri dan terlibat dalam perbincangan, saya dapat nyatakan selagi ia tidak diumumkan atau tidak diputuskan, ia masih di peringkat awal untuk kita membuat sebarang kesimpulan," katanya.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan mengulas pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.

Bagaimanapun, Anwar berkata, sekiranya kerajaan yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat adalah langkah ke belakang yang akan memungkin kediktatoran.