X

Kindly register in order to view this article
!

Trend beli-belah online meningkat

Ian Ho
A
A

SHAH ALAM - Tahun 2020 telah menyaksikan kemajuan besar bagi e-dagang apabila rakyat Malaysia didorong mengutamakan perbelanjaan dalam talian (online) untuk pelbagai pembelian termasuklah barangan berjenama dan premium.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, melihat kepada tabiat membeli-belah mereka dan bertentangan dengan anggapan bahawa perbelanjaan pengguna telah berkurang, Shopee mendapati bahawa permintaan meningkat bagi semua kategori di platformnya dengan perubahan yang paling ketara direkodkan untuk jenama dan peruncit di segmen pertengahan serta atasan.

“Selain barangan keperluan peribadi dan peralatan rumah, Shopee telah menyaksikan keyakinan dan keselesaan yang semakin meningkat dalam pembelian barangan premium serta berjenama berharga RM3,000 ke atas di platformnya. Perubahan ini dicerminkan dalam barangan yang dicari dan dibeli oleh pengguna di platform ini.

“Dalam beberapa bulan ini, kata carian paling popular di Shopee ialah iphone, laptop, washing machine dan smart TV manakala barangan terlaris termasuk Apple MacBook Pro, Bosch Built-in Dishwasher dan Delonghi Coffee Machine. Perubahan ini didorong oleh jaminan ketulenan 100 peratus di Shopee Mall,” katanya dalam satu kenyataan.

Ho berkata, infrastruktur dan penggunaan digital sentiasa berkembang dengan stabil di negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Sarawak, Sabah dan Labuan manakala Shopee mendapati bahawa penggunaan serta kebiasaan dengan e-dagang meningkat secara ketara di pinggir bandar negeri-negeri ini pada tahun 2020.

“Pembeli luar bandar juga dilihat semakin selesa dengan keseluruhan ekosistem digital kerana ramai yang telah beralih daripada menggunakan kaedah pembayaran luar talian kepada ShopeePay untuk melakukan pembayaran mereka,” katanya.

Beliau berkata, permintaan telah bertambah untuk e-dagang pada tahun 2020 dan Shopee melihat peningkatan yang selari bagi tahap kepercayaan dan keselesaan orang ramai dalam membeli-belah atas talian.

“Perkembangan ini menandakan tahap baharu bagi industri e-dagang. Dengan bekerjasama rapat dengan jenama dan peruncit untuk mencapai pertumbuhan, kami dapat melihat banyak kempen yang berjaya yang dijalankan untuk rakan kongsi kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow berkata, sebagai penyedia perkhidmatan penting yang diwartakan dengan rangkaian gudang yang dimiliki sepenuhnya di seluruh negara dan lebih daripada 40 pusat hab di kawasan berkepadatan tinggi, Lazada bersama komuniti penjual, jenama dan rakan kongsinya bersama-sama membantu memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat dengan lebih cekap.

Leo Chow
Leo Chow

“Lazada bersama dengan logistik di barisan hadapan memastikan bekalan barang keperluan dan bahan makanan yang mencukupi untuk menyokong rakyat Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kedua ini," katanya.

Katanya, sejak PKP pada Mac lalu, keseluruhan urus niaga harian di Lazada meningkat hampir 80 peratus berbanding pra-PKP, sementara penjual perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baharu pula meningkat lebih daripada 300 peratus pada bulan Ogos.

“Oleh kerana rakyat Malaysia terus mengamalkan normal baharu dengan membeli-belah secara online, kami melihat bahawa kategori runcit telah menunjukkan peningkatan hampir 12 kali ganda jualan semasa penjualan Lazada 10.10 baru-baru ini yang diadakan Oktober lalu," katanya.

Chow berkata, pada masa yang sama, kemudahan dan keselamatan menjadi keutamaan bagi rakyat Malaysia dan Lazada tetap teguh untuk terus mendahului permintaan pelanggan tempatan melalui infrastruktur e-commerce yang tidak ada tandingannya bagi pelbagai jenis produk.

“Kami gembira apabila melihat bahawa usaha kami telah mendorong pertumbuhan ekonomi digital negara dengan membuka jalan bagi industri membeli-belah online tempatan untuk berkembang ketika ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!