Mygrocer@Wilayah bantu B40 jimat perbelanjaan dapur

Annuar (dua dari kiri) meninjau program Mygrocer@Wilayah di PPR Air Panas di Kuala Lumpur hari ini.
Annuar (dua dari kiri) meninjau program Mygrocer@Wilayah di PPR Air Panas di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan program Mygrocer@Wilayah bagi mengurangkan perbelanjaan dapur untuk golongan berpendapatan rendah B40.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, program pasar bergerak menggunakan trak yang menjual barangan dapur dan makanan asas termasuk barangan basah, garam, minyak serta gula ini akan ke 178 kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta secara berjadual.

Menurutnya, harga jualan yang ditawarkan oleh pengusaha trak Mygrocer@Wilayah adalah 5 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasar awam bagi membantu menjimatkan perbelanjaan sesebuah keluarga.

"Teorinya adalah jika seseorang itu membelanjakan keperluan dapur RM300 ke RM500 sebulan, kalau mereka jimat antara 10 hingga 20 peratus bermaksud mereka dapat kurangkan kos RM100 atau RM80 sebulan.

"Daripada membeli di pasar raya, perlu bayar minyak kereta dan tol serta harga barangnya agak mahal, kita perkenalkan konsep ini dengan bawa barang secara borong terus ke PPR (Projek Perumahan Rakyat) dengan harganya lebih rendah daripada pasaran," katanya sewaktu tinjauan program Mygrocer@Wilayah di PPR Air Panas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, konsep tersebut masih di peringkat awal dan sedang ditambah baik dari masa ke masa.

Katanya, disebabkan program dilaksanakan di 178 kawasan pihaknya berpandangan bilangan trak yang disediakan tidak mencukupi.

"Saya lihat banyak bas-bas terpakai termasuk di Putrajaya sahaja lebih 100 bas yang tidak digunakan tapi masih dalam keadaan elok.

Artikel Berkaitan:

"Jika bas ini boleh diubah suai kemudian diletakkan secara statik menjadi kiosk di lokasi program, lebih banyak barang dapur boleh dibawa dan kekerapan program dapat diperbanyakkan lagi," katanya.