Serah keputusan kepada Agong

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk pembangkang perlu memahami bahawa masalah yang sedang dihadapi negara ketika ini adalah masalah semua dan bukan hanya masalah kerajaan semata-mata.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak perlu menunggu keputusan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Sepatutnya kita semua memainkan peranan, saya percaya baik kerajaan mahu pun pembangkang (perlu) memahami masalah sedang dihadapi (negara) ini bukan hanya masalah kerajaan sebaliknya masalah semua.

"Kalau kita buat sesuatu penilaian berasaskan 'political devices' kita mungkin tidak berlaku adil. Satu daripada perkara untuk berlaku adil ialah tunggu dulu, kerajaan belum memutuskan apa-apa yang perlu.

"Ia perlu perkenan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebab apabila disebut soal darurat, orang awam akan membayangkan darurat seperti 13 Mei," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di tapak Projek MyGrocer@Wilayah di sini hari ini.

Terdahulu, Kabinet dilapor bersetuju dengan pelaksanaan 'darurat' bagi menangani penularan koronavirus (Covid-19) selepas perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

Berikutan itu, Muhyiddin dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan di Pahang petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Rancangan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutama ahli politik pembangkang yang menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani wabak Covid-19.

Malah mereka juga mendakwa langkah Muhyiddin mengisytiharkan darurat adalah cubaan untuk menggantung Perlembagaan Persekutuan dan mengelak berlakunya pilihan raya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya turut menyifatkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan 'darurat' memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu menyarankan Anwar agar menunggu keputusan rasmi daripada pihak kerajaan sebelum mengeluarkan sebarang andaian malah tohmahan yang tidak benar.

Menurutnya, istilah darurat terdapat dalam pelbagai jenis sebelum diputuskan namun setakat ini kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan kerana segala-galanya mestilah mengikut jalur perundangan.

"Jadi kalau kerajaan belum buat kita sudah menjatuhkan hukum kerajaan hendak jadi diktator, Perdana Menteri hendak menyelamatkan dirilah, saya fikir itu tidak adil.

"Kalau ditakdirkan darurat itu berlaku, ia tidak akan keluar dengan ayat: 'maka dengan hari ini mengisytiharkan darurat', tidak begitu.

"Tentulah kena ada penjelasan darurat untuk apa, dalam bentuk macam mana, rakyat kena perintah berkurung ke, askar ke yang memerintah, Perdana Menteri kena jadi diktator, itu semua kena dijelaskan," katanya.