X

Kindly register in order to view this article
!

[DIKEMASKINI] Agong bincang cadangan PM dengan Raja-Raja Melayu

Kenyataan media Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lanjutan daripada mesyuarat khas kabinet, semalam.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, AI-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat.

Rundingan tersebut bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5.00 petang semalam.

Berikut adalah kenyataan penuh Istana Negara yang dikeluarkan sebentar tadi.

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5.00 petang semalam (23 Oktober, 2020).

Sesi menghadap ini telah dimohon oleh YAB Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.

Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang. tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!