24 Ahli Majlis PBT di Johor dilantik hujung bulan ini

Ayub Jamil
Ayub Jamil
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor akan menerima sepenuhnya lantikan seramai 24 Ahli Majlis pada 31 Oktober ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil berkata, lantikan keseluruhan seramai 384 Ahli Majlis itu bagaimanapun dilakukan secara berperingkat sejak April lalu melibatkan dua fasa bagi membolehkan urusan PBT berjalan dengan lancar.

"Untuk lantikan Ahli Majlis bagi fasa pertama dilakukan selepas Ahli Majlis daripada parti PKR, DAP dan Amanah tamat perkhidmatan pada 31 Mac lalu manakala daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula berakhir 31 Jun lalu.

"Lantikan Ahli Majlis PBT dilakukan pada fasa pertama melibatkan 66 individu dipilih daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Lantikan ini bagi memastikan urusan setiap 16 PBT boleh berjalan walaupun tidak mempunyai jumlah penuh 24 Ahli Majlis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, berdasarkan jumlah Ahli Majlis yang ada seramai lapan hingga sembilan individu bagi setiap PBT dari April hingga Ogos lalu, semua urusan di PBT tidak mempunyai masalah dan boleh beroperasi seperti biasa.

Kerajaan negeri katanya, kemudian melaksanakan pelantikan Ahli Majlis fasa kedua yang akan melibatkan 318 individu daripada Parti BN, Bersatu dan Pas.

Lantikan fasa kedua itu katanya, bagaimanapun dijalankan menerusi dua peringkat yang mana peringkat pertama 163 individu dilantik berkuat kuasa 23 September lalu hingga 31 Disember ini.

"Sementara itu, lantikan peringkat terakhir untuk fasa kedua akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan 155 individu lagi untuk melengkapkan jumlah 384 Ahli Majlis di semua PBT seluruh Johor.

Artikel Berkaitan:

"Bagi semua lantikan ini, pendekatan diambil bagi pembahagian jumlah Ahli Majlis mewakili parti politik terlibat adalah dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya mengenai kedudukan representasi setiap pihak di setiap kawasan. Perkara ini juga merujuk kepada kesesuaian pemilihan wakil bagi peringkat bahagian parti politik," katanya.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kaedah pembahagian Ahli Majlis dibuat berdasarkan rundingan sekali gus memastikan keharmonian serta menghormati kerjasama antara parti politik yang mendokong kerajaan negeri kini.

Tambahnya, kerajaan negeri di bawah Portfolio Pengerusi Perumahan dan Kerajaan tempatan melihat perkara itu sebagai satu keutamaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan sosio budaya negeri ini dapat berjalan dengan efisyen serta mampan.