Amanah minta Agong pertahan demokrasi, tolak permintaan Muhyiddin

Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini memainkan peranan yang penting ketika berlakunya kemelut politik negara.
Yang di-Pertuan Agong pada ketika ini memainkan peranan yang penting ketika berlakunya kemelut politik negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) berharap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah terus mempertahankan amalan institusi demokrasi berparlimen dengan menolak cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat mahu mengisytiharkan darurat.

Amanah dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia sekaligus boleh menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.

Menurutnya, sekiranya benar kerajaan Perikatan Nasional mahu mengisytiharkan darurat dengan menggunakan ancaman Covid-19 sebagai alasan maka ia adalah satu tindakan yang tidak berasas.

“Mengikut pakar-pakar kesihatan awam dan penyakit-penyakit berjangkit untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani ancaman Covid-19, hakikatnya tiada keperluan.

“Sebaliknya apa yang diperlukan adalah untuk memperkukuhkan tindakan-tindakan kesihatan awam demi menghadapi gelombang ketiga ini.

“Apa yang disarankan juga adalah strategi komunikasi yang berkesan dan jelas mengenai semua tindakan yang perlu dilakukan rakyat,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Amanah mendakwa pengisytiharan darurat merupakan tindakan politik yang mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ketiga Covid-19 yang sedang melanda negara.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya mengakui beliau telah kehilangan sokongan majoriti dan mengambil tindakan lebih bermaruah dengan meletak jawatan.

Artikel Berkaitan:

“Kami berkeyakinan Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi usul undi tidak percaya di Parlimen dan seterusnya gagal mendapat sokongan bagi pembentangan Belanjawan 2020.

“Tindakan meletak jawatan ini akan menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam sengketa perebutan kuasa berpanjangan,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan mengisytihar darurat pastinya menambah derita yang sudah sedia ditanggung oleh rakyat ketika ini.

“Mahu atau tidak pengisytiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kaca mata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia,” katanya.