X

Kindly register in order to view this article
!

Lanjut tempoh diskaun MRC untuk petugas barisan hadapan

PPSPM melanjutkan diskaun 50 peratus kepada barisan hadapan yang menaiki MRC sehingga November depan. Gambar kecil: Murad Husin
A
A

MELAKA - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melanjutkan tempoh promosi diskaun sebanyak 50 peratus kepada petugas barisan hadapan 'frontliner' untuk menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) sehingga hujung November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, lanjutan tempoh promosi yang sepatutnya berakhir 31 Oktober ini bagi memberi peluang dan ruang kepada lebih ramai petugas barisan hadapan untuk menggunakan perkhidmatan ditawarkan sekali gus menikmati keindahan menyusuri Sungai Melaka.

"Memandangkan masa yang diperuntukkan hanya sebulan, jadi pengurusan PPSPM mengambil inisiatif menyambung promosi sehingga akhir bulan depan.

"Mereka hanya perlu menunjukkan pas kerja masing-masing di kaunter tiket MRC samada di Taman rempah mahu pun di Dataran Muara Sungai Melaka dan mereka layak mendapatkan harga tiket promosi ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Murad, promosi itu bukan hanya melibatkan frontliner malah mereka boleh membawa empat orang lagi terdiri daripada ahli keluarga masing-masing dan mereka juga layak diberikan potongan harga 50 peratus.

Menurutnya, promosi yang ditawarkan diberikan kepada golongan dewasa dan kanak-kanak sahaja, manakala golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas dikecualikan.

"Antara objektif promosi ini diadakan adalah untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama pelancong domestik untuk berkunjung ke Melaka dan semestinya menaiki bot MRC," katanya.

Antara petugas frontliner yang disasarkan adalah kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Southern West Management (SWM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!