PM perlu letak jawatan, serah kepada budi bicara Agong

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu berikutan krisis politik yang melanda.

Isham yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu berpandangan Muhyiddin perlu menyerahkan kembali kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk membuat sebarang keputusan.

"Ia untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan pengakhiran yang sama (perintah darurat)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah itu lebih sopan dan 'gentleman' iaitu dengan memberi ruang sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan tanpa sebarang kekangan atau paksaan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan belum memberi sebarang perkenan atas apa-apa cadangan susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam termasuklah cadangan menggantung Parlimen dan mengadakan pentadbiran darurat.

Menurut sumber, Al-Sultan Abdullah akan memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi mendapat nasihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai permintaan Kabinet tersebut.

Mengulas lanjut, Isham berkata, langkah yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah satu keputusan yang bijak dan tertib.

"Pada hemat saya terdapat beberapa sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong memilih untuk memperhalusi sedalam-dalamnya cadangan darurat ini dan tidak sewenangnya memperkenankannya.

Artikel Berkaitan:

"Pertama ialah sekiranya terdapat cara atau pilihan lain yang boleh dilakukan dahulu sebelum langkah pengisytiharan darurat dibuat memandangkan ianya sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

"Kedua ialah untuk mengelakkan peruntukan darurat dalam Perlembagaan disalahguna untuk kepentingan politik. Dalam sejarah dunia darurat akibat politik ini pernah berlaku namun tidak sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata, sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan cadangan darurat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri maka Perlembagaan dan Parlimen tidak akan digantung.

Katanya, sidang Parlimen yang dijadualkan pada bulan hadapan akan diteruskan.

"Walaupun terdapat permohonan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dalam sidang Parlimen ini, namun usul ini besar kemungkinan tidak akan dibentang atau diundi kerana prosedur Parlimen yang membolehkan usul-usul yang bukan melibatkan urusan kerajaan (seperti usul undi tidak percaya) bukan menjadi keutamaan maka ia tidak akan sempat dibentangkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pada sidang Parlimen bulan ini akan ada pembentangan perbelanjaan kerajaan untuk Bajet 2021 yang memerlukan undian Ahli-ahli Parlimen untuk diluluskan.

Menurut Isham, sekiranya kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk usul Bajet ini, maka ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti.

"Apabila ini berlaku maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain meletakkan jawatan dan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

"Dengan pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri sementara yang lain atau boleh melantik Muhyiddin kembali sekiranya Baginda perkenan," katanya.

Menurutnya, sekiranya wabak koronavirus (Covid-19) masih belum reda, maka tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihanraya selepas pembubaran Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan boleh dilanjutkan dengan pengisytiharan darurat.

"Dalam tempoh darurat ini kuasa adalah di tangan Perdana Menteri sementara yang baharu dengan memegang kuasa-kuasa yang diwakili secara statut atau prerogatif (delegated statutory or prerogative powers) dari Yang di-Pertuan Agong semasa tempoh darurat sehingga pilihanraya diadakan," katanya.