X

Kindly register in order to view this article
!

Para Vietnam 2021: Jumlah, jenis sukan belum dimuktamadkan

Osoth Bhavilai
A
A

PERSEKUTUAN Sukan Para Asean (APSF) belum memuktamadkan jumlah dan jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-11 di Hanoi, Vietnam tahun depan.

Presiden APSF, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai berkata, jumlah dan jenis sukan yang akan dipertandingkan di Hanoi 2021 dijangka diputuskan selepas selesai dapatan Pernyataan Minat (EOI) yang dijalankan APSF.

“Dokumen rasmi EOI telah dihantar kepada semua 10 negara anggota dan Timor Leste yang perlu dikembalikan kepada APSF pada 30 Oktober ini.

“Jawatankuasa Eksekutif EOI akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan dan mempertimbangkan jumlah serta sukan berdasarkan maklum balas jawatankuasa paralimpik negara masing-masing sebelum kertas cadangan rasmi dihantar kepada Lembaga Pengelola (BoG) yang dijangka mengadakan mesyuarat pada Disember,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Bhavilai berkata, kesihatan dan keselamatan atlet serta pegawai adalah menjadi keutamaan, justeru langkah yang diambil dan keputusan yang dibuat perlu memastikan sukan yang dipertandingkan tidak berisiko dan boleh dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut beliau, berikutan pandemik itu, penganjuran Sukan Para Asean ke-11 perlu lebih teliti dan dikendalikan dengan cekap mengikut prosedur kesihatan ditetapkan bagi melindungi kontinjen dan atlet bertanding.

Vietnam akan menjadi tuan rumah temasya Sukan Para Asean kali kedua sejak 18 tahun, selepas kali pertama menganjurkan temasya dwitahunan itu pada edisi 2003 yang menyaksikan hanya lima sukan dipertandingkan.

Sebanyak 16 sukan disenaraikan pada Sukan Para ASEAN ke-10 di Filipina namun temasya itu dibatalkan susulan peningkatan penularan Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!