X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan PN masih ada kuasa walaupun diisytihar darurat

Muhyiddin
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai kuasa untuk mentadbir negara sepenuhnya jika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Malaysia dalam masa terdekat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Seri Paduka juga boleh membuat ordinan semasa darurat dan undang-undang itu tidak semestinya perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan kecuali melibatkan beberapa perkara.

Menurutnya, perkara itu berkaitan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan istimewa Melayu, hak istimewa Sabah dan Sarawak serta kedaulatan Raja-Raja.

“Ordinan darurat itu dibuat dengan mengambil kira tujuan darurat diisytiharkan.

“Sekiranya ia diisytiharkan berikutan situasi semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin serius, undang-undang dibuat mengikut tujuan itu.

“Undang-undang yang diperkenalkan itu mungkin akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah menangani penularan pandemik itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang dipercayai untuk mendapat perkenan mengisytiharkan darurat ekoran keadaan penularan Covid-19.

Dr Nik Ahmad Kamal berkata, sekiranya darurat diisytiharkan ia akan mencipta sejarah baharu di Malaysia kerana buat pertama kalinya ia terpaksa dilakukan disebabkan penularan wabak penyakit.

“Parlimen pun masih boleh bersidang dan berfungsi seperti biasa mengikut Perkara 150 Proklamasi Darurat Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli Parlimen masih boleh menjalankan tugas seperti biasa termasuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, kalau sidang itu dilihat perlu ditangguhkan mengikut keadaan semasa, ia boleh ditangguhkan.

“Walaupun darurat berkuat kuasa sama ada selama enam bulan atau lebih, gaji dan elaun ahli Parlimen masih berjalan atau dibayar kerajaan seperti biasa.

“Dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan juga disebutkan tiada satu-satu tempoh ditetapkan untuk darurat yang diisytiharkan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!