Menanti keputusan positif FAM, AFC

No Image Caption
A
A
A

PENGENDALI Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid berharap keputusan positif dapat dirumuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan statusnya yang masih belum memiliki lesen Pro Diploma Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, Manzoor yang juga bekas pemain Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berusia 43 tahun berkata, beliau tetap akur sebarang keputusan diputuskan badan induk bola sepak negara mahupun AFC.

“Kalaulah ada pertimbangan daripada FAM untuk saya dan coach Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff untuk terus membimbing pasukan pada saingan Liga Super musim depan, saya ucapkan terima kasih.

“Tetapi itu bukan bermakna jika kami dapat peluang daripada FAM, kemudian kami tidak mengikuti kursus (bagi mendapatkan lesen Pro Diploma AFC) kerana kami pun sebenarnya sememangnya berhajat mahu mengikuti kursus tersebut.

“Apa saja keputusannya nanti, saya akan terus berbakti dengan skuad Pulau Pinang sebagai penolong jurulatih dalam membantu pasukan ini mengharungi saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga-M),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebagai rekod, semua jurulatih yang membimbing pasukan Liga Super diwajibkan memiliki lesen Pro Diploma AFC bermula musim ini sementara Liga Premier akan diperkenalkan pada tahun 2022.

Selain Manzoor, Nidzam Adzha yang turut berjaya mengemudi Kuala Lumpur mara ke Liga Super musim depan masih belum mengikuti kursus kejurulatihan tersebut yang dilaporkan menelan belanja RM65,000.

Manzoor berkata, beliau berpeluang mengikuti kursus lesen kejurulatihan itu Ogos lalu, namun ia terpaksa ditunda sehingga sekarang ekoran penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia sejak awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Tahun lepas saya tak sempat pergi untuk batch pertama yang turut disertai beberapa coach Liga-M seperti Irfan Bakti (Abu Salim), Mehmet (Durakovic). Batch pertama tempoh hari ada lima fasa, empat fasa di buat di negara ini manakala satu lagi fasa dibuat di luar negara iaitu di Jepun.

“Cuma apa yang difahamkan kursus tempoh hari masih berjalan kerana tinggal satu fasa lagi, namun disebabkan wabak Covid-19 terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

“Ikutkan syarat kelayakan, jika mana-mana coach sudah mulai mengikuti kursus berkenaan, mereka dianggap layak mengendali pasukan Liga Super,” jelasnya.