Goldman Sach didenda RM12 bilion, iktibar buat syarikat Malaysia

Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion). Gambar kecil: Jais Abdul Karim
Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion). Gambar kecil: Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) mendenda Goldman Sachs sebanyak RM12 bilion dalam kes berkaitan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dijadikan iktibar oleh syarikat di Malaysia dalam memastikan pengurusan yang berintegriti.

Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kes tersebut juga boleh menjadi contoh terbaik bagi rujukan pihak berkuasa di negara kita berkenaan cara terbaik menguruskan kes salah guna kuasa dan rasuah.

“Ini adalah contoh terbaik kepada pelaksanaan Seksyen 17(A) di Malaysia di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melaksanakan undang-undang ini secepat mungkin bagi memastikan syarikat komersial di Malaysia bersih dari elemen rasuah dan salah guna kuasa.

“Selain itu, syarikat di Malaysia juga mesti faham bahawa amat tidak berbaloi bagi mereka melakukan jenayah ini kerana nilai denda 10 kali ganda daripada nilai suapan atau minimum RM1 juta dan ditambah dengan hukuman penjara.

“Sehubungan itu, para pemilik syarikat dan pengurusan kanan mereka wajib memastikan perniagaan tersebut dijalankan dengan bersih dan tiada elemen rasuah serta salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang telah dipinda pada 2018 merupakan akta yang memperuntukkan kuasa untuk menghukum kesalahan rasuah yang dilakukan oleh organisasi komersial,

Dalam kenyataan yang sama, Jais juga berharap agar pihak kerajaan dan pihak swasta untuk lebih bertanggungjawab dalam melahirkan generasi pengurusan baharu yang bukan sahaja bijak dan bertenaga tetapi mesti berintegriti tinggi.

“Pemimpin negara kita perlu diberi ingatan bahawa imej negara pasti akan hancur jika mereka tidak menerapkan aspek integriti yang tinggi dalam pengurusan negara atau usaha membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Ini memandangkan saranan dan nasihat daripada seorang ahli perniagaan berjaya, Warren Buffet yang menyatakan dengan jelas tanpa integriti, faktor kebijaksanaan dan tenaga yang hebat tiada gunanya,” katanya.

Tambah beliau, MCW yakin sekiranya organisasi komersial yang ditadbir urus dengan integriti tinggi pasti akan memperoleh keuntungan besar dan seterusnya membantu perkembangan ekonomi negara melalui cukai yang dibayar.

Kelmarin, media melaporkan firma kewangan global itu bersetuju membayar denda sebagai penyelesaian berhubung skandal 1MDB yang membabitkan anak syarikatnya di Malaysia.

Menurut pegawai kerajaan AS dalam laporan berkenaan, syarikat itu dikenakan penalti AS$2.3 bilion iaitu kira-kira RM9.5 bilion termasuk rampasan pemerolehan berjumlah RM2.5 bilion.

Selain itu, Goldman juga akan membayar AS$1.26 bilion atau RM5.2 bilion kepada Perbendaharaan AS, tidak termasuk bayaran kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika (SEC), pihak berkuasa di Britain, Singapura dan Hong Kong.

Dalam kenyataan yang sama, Jais juga mendesak supaya pihak Peguam Negara menekankan semua defendan dalam kes berkenaan membayar jumlah yang lebih besar daripada yang dipersetujui bagi menyelesaikan pelbagai kes yang berkaitan dengan kes ini.

“Keputusan Mahkamah di Amerika ini sewajarnya membolehkan Kerajaan Malaysia menuntut lebih lagi ganti rugi dari Kerajaan Amerika sebagai tambahan kepada wang yang telah dipulangkan sebelum ini. Maruah Negara kita harus ditebus.

“Ini merupakan duit rakyat Malaysia dan untuk rakyat.

“Justeru, hukuman denda yang telah dikenakan juga sewajarnya dirayu agar ditingkatkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Jais juga berkata, keputusan mahkamah di Amerika Syarikat semalam juga akan memberi kesan positif kepada perundangan negara yang selama ini dikatakan berat sebelah ketika menguruskan kes melibatkan syarikat-syarikat besar.