X

Kindly register in order to view this article
!

Antara Churchill dan Muhyiddin

A
A

AKHIRNYA Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu mengumumkan gencatan politik terhadap Perikatan Nasional (PN). Ia sedikit sebanyak meredakan hangat bahang politik negara sekali gus melegakan seketika negara yang bergelojak sejak September lalu.

Di sebalik pengumuman itu, ada beberapa perkara yang masih dilihat belum beres. Pertama, sudah tentulah persoalan majoriti ‘kuat, hebat dan meyakinkan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum dibuktikan meritnya dan kedua, sejauh mana gencatan politik akan mengendurkan tekanan UMNO kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta PN yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Apa perlunya dua perkara itu? Ia berkait rapat dengan persoalan majoriti yang penting bagi pembentukan kestabilan sesebuah kerajaan yang memerintah dalam konteks demokrasi berparlimen.

Dalam politik angka, kredibiliti, prestasi mahupun populariti kepimpinan seseorang pemimpin pun barangkali akan melayang jika partinya tidak memiliki majoriti kukuh ketika membentuk kerajaan. Lebih parah jika kerajaan yang dipimpinnya itu pula diancam dengan masalah luar jangka dan payah dikawal.

Oleh sebab itu, dalam masa yang sukar, majoriti yang kuat selalunya akan memberikan ketenangan fikiran buat pemimpin untuk fokus kepada permasalahan yang ada. Jadi, jelas genjatan politik UMNO kena tepat pada masanya.

Cumanya, apa yang berlaku ketika ini persis kisah Winston Churchill suatu ketika dahulu. Bekas Perdana Menteri Britain itu juga membentuk kerajaan gabungan apabila seteru politik lamanya dalam Parti Konservatif, Neville Chamberlain meletak jawatan selepas undi tidak percaya kepadanya diusulkan di Parlimen (walaupun beliau menang tetapi majoriti kerajaannya berkurang daripada 213 kepada 81 selepas itu) pada tahun 1940.

Pembentukan Kerajaan Gabungan Kebangsaan (National Coalition Governemnt) antara Parti Buruh, Parti Konservatif dan Parti Liberal Kebangsaan berlaku disebabkan tekanan Perang Dunia Kedua. Ancaman Nazi Jerman ketika itu menyatukan parti-parti yang berbeza dalam satu kerajaan. Churchill kemudiannya membentuk Kabinet kerajaan yang dikenali sebagai Kabinet Perang.

Kekuatan politik yang diperoleh Churchill melalui gabungan parti tersebut yang disifatkannya sebagai pembentukan sebuah negara bersatu dan kental untuk memerangi negara Nazi Jerman membolehkan beliau fokus dengan usaha menyelamatkan Britain daripada perang dan tentera Nazi Jerman.

Beliau berjaya membawa kemenangan buat negaranya dengan bantuan sekutu rapatnya, cuma malang, jasa yang sebesar itu pun tidak mampu menyelamatkan karier politiknya.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat dengan kekalahan Nazi Jerman pada tahun 1945, Churchill dikhianati oleh Parti Buruh pimpinan Clement Attlee yang keluar daripada Kerajaan Gabungan Kebangsaan dan mendesak pilihan raya umum segera dijalankan. Akhirnya, pada Julai 1945, Churchill tewas teruk kepada Parti Buruh dan Attlee menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Apakah kisah Churchill mungkin berlaku kepada Muhyiddin? Dengan naratif yang hampir sama – ancaman pandemik Covid-19 dan dampaknya terhadap ekonomi negara – juga telah berjaya menyatukan seteru politik atas nama ‘bersatu dan membantu negara’ seperti ancaman Nazi Jerman kepada Churchill.

Bagaimana pula jika vaksin Covid-19 berhasil ditemui dan ekonomi negara kembali pulih? Apakah Muhyiddin akan kekal atau bakal menerima nasib serupa seperti Churchill? Atau mungkin lebih tragis, akan ada perbuatan luar jangka yang membawa kepada tragedi kejatuhan kerajaan gabungan yang tidak sempat membawa negaranya keluar daripada permasalahan disebabkan ada golongan tamak kuasa dan rakus berpolitik.

Sekurang-kurangnya Churchill sempat menyelamatkan negara dan rakyatnya sebelum ditikam dari belakang dan ditunjukkan jalan keluar.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!