Soal prinsip, apa pegangan kita?

No Image Caption
A
A
A

SEKALI sekala apabila tidak ada kerja yang berfaedah untuk saya lakukan, ada juga saya berfikir, kalaulah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, bagaimanakah prinsip dan ideologi pemerintahannya?

Anwar memang terkenal dengan beberapa perkara. Tolak tepi kes yang menjadi sebutan ramai. Beliau memang tidak asing dengan pidato yang mantap dan memang pandai berucap.

Namun, masih belum ada rezeki untuk menjadi Perdana Menteri, maka tidaklah dapat kita tahu bagaimana gayanya apabila mengemudi kerajaan. Mungkin melihat dari satu sudut, Anwar telah berikrar mencari sesiapa yang menggunakan duit rakyat untuk kepentingan sendiri akan dihukum.

Sekali sekala saya berfikir kalau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula yang jadi Perdana Menteri. Melihat kepada percakapan dan ucapannya, tidaklah menarik perhatian saya. Sesekali melihatnya menimbulkan ketakutan. Bolehkah beliau menjaga rakyat jelata? Bak kata pepatah Melayu lama, rantau jauh diulangi, rantau dekat dikendana, maka barulah boleh menjadi pemimpin yang baik.

Merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memang pengaruh beliau agak kuat kerana sudah sekian lama menjadi Perdana Menteri, kemudian sekali lagi pada tahun 2018. Banyak cerita boleh kita kaji seperti jasanya yang banyak kepada negara dan rakyat, cuma pemikirannya yang tidak habis-habis menyatakan Melayu malas amat mendukacitakan hati.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang diakui mempunyai banyak jasa kepada rakyat terutama memberi pelbagai bantuan. Cuma, beliau tersabit dengan kesalahan dan masih dalam perbicaraan mahkamah. Bak kata pepatah, sudah basah kehujanan. Namun, ada juga orang kata, kita manusia tidak boleh lari daripada kesilapan.

Justeru, sebagai rakyat jelata, saya berfikir ke manakah arah sokongan kita? Adakah kita perlu menyokong pemimpin yang terbukti bersalah dalam beberapa perkara tetapi banyak membantu rakyat? Atau pejamkan sahaja mata jika pemimpin itu bersalah asalkan kepentingan rakyat diutamakan. Ada seorang tua di kampung saya pernah berkata: “Tak apalah asalkan rakyat dapat bantuan. Pak cik pun dulu dah lama menderita masa zaman Jepun. Kau orang muda sangat beruntung. Kalau ada pemimpin buat salah sikit-sikit itu tidak apalah.”

Maka, timbul soal prinsip. Bagaimanakah prinsip kita sebagai rakyat jelata? Adakah perlu menyokong mereka yang dikatakan mempunyai gaya pemerintahan Robin Hood atau mereka yang benar-benar jujur menurut kata Immanuel Kant?

Artikel Berkaitan:

Berprinsip

Immanuel Kant berkata dalam falsafah moralnya, mereka yang dikatakan jujur dan berprinsip, apabila ingin mencapai sesuatu tetapi perlu melibatkan orang lain bagi mencapai sesuatu, hendaklah memberitahu orang yang dipergunakannya itu akan tujuannya.

Dia tidak boleh menyembunyikan apa-apa pun perkara kepada mereka yang terlibat dalam usahanya untuk meraih sesuatu demi agenda peribadinya. Agak mustahil, sebab manusia ini sebenarnya tidak pernah sunyi daripada memanipulasi orang lain walaupun kita sendiri tidak mengaku.

Berfikir tentang Tan Sri Muhyiddin Yassin, ramai menyokongnya atas usaha beliau kepada rakyat saat kita dibelenggu dengan koronavirus (Covid-19). Cuma, bak kata orang bijak pandai, hukum karma berada di mana-mana. Ada hujan ada panas, sampai masa kita pula menerima akibatnya. Bagaimana kita buat kepada orang lain, akan dibuat kepada kita semula.

Akhir-akhir ini pula, kita lihat ramai ‘orang kecil’ ditangkap kerana rasuah dan menipu. Apabila disiasat dengan lebih mendalam, terbongkar pula penglibatan orang-orang besar dan penting. Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik atau dalam konteks sekarang boleh sahaja ditukar, pemimpin borek, anak buah rintik, harapkan pegar, pegar makan padi.

Timbul lagi persoalan, adakah kita sebenarnya berprinsip dalam menyokong seorang pemimpin ataupun hanya kalau laba bercikun-cikun, buruk diberitahu orang?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com