Membina keperibadian unggul

Jacinda Ardern
Jacinda Ardern
A
A
A

PADA 17 Oktober lalu, boleh dikatakan hampir semua akhbar di seluruh dunia melaporkan kejayaan Jacinda Ardern yang berjaya kekalkan jawatan Perdana Menteri New Zealand bagi penggal kedua. Sepintas lalu, apa yang menarik tentang beliau hingga mendapat liputan media sosial di seluruh dunia?

Walhal, sebelum ini telah ramai pemimpin dunia yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandang untuk kali kedua dan tidaklah mendapat liputan yang sebegitu luas sepertinya? Apa yang nyata, Jacinda Ardern ialah insan yang cukup istimewa.

Kenapa istimewa? Walaupun melaksanakan pilihan raya semasa pandemik koronavirus (Covid-19), beliau berjaya meyakinkan rakyat untuk menerima pilihan raya itu dengan hati terbuka walaupun mendapat bantahan daripada pihak pembangkang untuk melewatkan tarikh pilihan raya sebelum ini.

Hakikatnya, beliau yang mengetuai Parti Buruh dan masih berumur 40 tahun telah berjaya memenangi 49 peratus daripada jumlah undi dan mencipta sejarah parti politik tunggal yang memenangi majoriti pilihan raya sejak 24 tahun yang lalu. Beliau menang dengan begitu selesa untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri New Zealand bagi penggal yang kedua.

Sebetulnya, kejayaan beliau mengekalkan jawatan tersebut bukannya kerana manipulasi politik, sebaliknya beliau telah membuktikan kejayaan pentadbiran menerusi kad pelaporan yang memberangsangkan.

Buktinya, beliau membuka 92,000 peluang pekerjaan, menanam 140 juta pokok, memperbanyakkan mesin radiasi untuk rawatan kanser, meningkatkan kadar upah minimum, membina lebih banyak kelas pembelajaran di sekolah untuk 100,000 pelajar, meningkatkan penjagaan kesihatan mental, meningkatkan bantuan persekolahan, meningkatkan bilangan polis, memperkenalkan makan tengah hari percuma di sekolah dan pelbagai inisiatif lagi.

Malah, sebelum ini pun beliau telah berjaya menangani dengan tenang pelbagai krisis yang melanda negaranya seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan yang paling diingati masyarakat dunia adalah kejujuran beliau menangani isu pelampau kulit putih yang menembak mati seramai 51 orang Islam di masjid Christchurch pada Mac tahun lalu.

Kejayaan

Artikel Berkaitan:

Pada hemat saya, kejayaan beliau bukanlah kerana anugerah Tuhan semata-mata, sebaliknya beliau berjaya tonjolkan keperibadian yang unggul kepada seluruh rakyat dan dunia.

Berkaitan peribadi yang hebat, saya cukup terkesan dengan nukilan Pak Hamka mengenai ciri-ciri keperiba-dian yang hebat menerusi bukunya, Peribadi Hebat.

Menurut beliau: “Jika perangainya halus, hatinya suci, sikapnya jujur, perkataannya teratur dan budinya mulia, serta kelakuannya baik, mukanya jernih kerana ia memandang kehidupan dengan penuh pengharapan dan tidak pernah putus asa. Apa yang diyakini, itulah apa yang dikatakannya dan apa yang dikatakannya itulah yang diyakini. Oleh itu, kesimpulan bagi sikap sebegini adalah seorang ‘budiman’.”

Tambahnya: “Jika dia cerdas, akalnya tajam, buah fikirannya baik dan ia pun cepat mengambil kesimpulan, terang otaknya, luas pandangannya dan jauh tiliknya, kerana itu kita katakan bahawa ia ‘cerdas’.

“Jika suka bergaul, suka menolong, tidak menyisih daripada masyarakat, tidak memikirkan kepentingan diri sendiri atau keluarganya sahaja, tidak gila pangkat, mengerti kedudukan orang lain dan berasa dirinya ikut dalam kedudukan itu, hormat kepada orang tua, kasih kepada yang muda, pandai bergaul, pandai berkawan, maka kita gelarlah dia dengan gelaran ‘orang masyarakat’.”

Justeru, untuk membina peribadi yang hebat, kita haruslah mempunyai ciri-ciri budiman, cerdas dan mesra masyarakat.

Rumusannya, Jacinda Ardern menjadi fenomena di dunia hari ini bukan kerana peribadinya hebat, sebaliknya berjaya menonjolkan keperibadiannya merentasi sanubari rakyat. Semoga pekerti beliau menjadi pedoman kepada semua pemimpin di Malaysia demi kelangsungan hidup rakyat yang begitu sukar dan rapuh pada masa ini.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis