MBMB akan tutup premis perniagaan ingkar SOP Covid-19

MBMB akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup premis perniagaan di bawah kawasan pentadbirannya jika didapati melanggar SOP bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini. - Foto Bernama
MBMB akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup premis perniagaan di bawah kawasan pentadbirannya jika didapati melanggar SOP bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup premis perniagaan di bawah kawasan pentadbirannya jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Datuk Bandarnya, Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan dari masa ke masa khususnya di kawasan tumpuan awam seperti pasar dan kedai makan.

"Kita memandang serius isu pematuhan SOP dan MBMB turut berperanan sebagai petugas barisan hadapan membantu Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan SOP bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat segera diputuskan.

"Walaupun kerajaan telah menyarankan agar rakyat melakukan kawalan kendiri namun pada saya arahan ini masih dipandang ringan oleh sebahagian masyarakat sehingga melanggar SOP di tempat awam yang membawa kepada penangkapan oleh polis dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak pemasangan Sistem Pemantauan Operasi Pam (SPOP) Advanced di Bunga Raya Pantai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBMB akan memperluaskan pemasangan SPOP Advanced di empat lagi lokasi yang dikenal pasti sering dilanda banjir membabitkan peruntukan kira-kira RM200,000.

Lokasi tersebut ialah Sungai Udang, Kampung Morten, Jambatan Tan Kim Seng dan Pengkalan Rama dan ia dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, sistem amaran itu mula digunakan sejak 2017 di Rumah Pam Kawalan Banjir Bunga Raya Pantai dan Rumah Pam Kawalan Banjir As Syakirun di Pulau Melaka dan dapat mengesan kenaikan paras air sungai, kerosakan pam, bekalan elektrik terputus, pemantauan kualiti udara dan operasi pam menggunakan teknologi Internet Benda (IoT).

Artikel Berkaitan:

"Sistem ini berfungsi menyampaikan maklumat berkaitan menerusi panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas dan anggota teknikal MBMB akan diberi amaran awal serta mengenal pasti punca untuk mengelak berlaku banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

"Anggota teknikal atau kontraktor lantikan MBMB juga boleh memantau sebarang masalah menerusi aplikasi atau ‘web-monitoring’ sekali gus membolehkan penyelesaian masalah dilakukan dengan cepat dan tepat berbanding kaedah lama yang perlukan petugas ke tapak lokasi pam kawalan banjir untuk mengenal pasti punca," katanya.

Katanya, SPOP Advanced dihasilkan kumpulan kreatif dan inovatif MBMB iaitu ‘Ingenieria Crew’ dengan kerjasama Intel Microelectronic (M) Sdn Bhd serta TNB Research Sdn Bhd dan ia diiktiraf Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). - Bernama