PM perlu letak jawatan, alasan isytihar darurat dangkal

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekiranya Perdana Menteri sudah kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera meletak jawatan dan bukan mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin yang bercadang melaksanakan darurat dengan alasan menangani penularan koronavirus (Covid-19).

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, cadangan kerajaan PN kononnya untuk melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19 merupakan alasan dangkal yang tidak dapat meyakinkan rakyat.

"Alasan sebenarnya darurat dilaksanakan ialah supaya kerajaan PN pimpinan Muhyiddin dapat mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November 2020 dan menghadapi ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17hb November ini sama ada akan melulus atau menolak Belanjawan 2021 tersebut.

"Sekiranya belanjawan itu ditolak Dewan Rakyat, maka Muhyiddin dan kerajaannya hilang majoriti kepercayaan ahli Parlimen. Natijahnya Muhyiddin secara konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Spekulasi pengisytiharan darurat memuncak

Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota, Kuantan hari ini yang dikaitkan dengan perbincangan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat.

Hassan berkata, Muhyiddin tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat di Malaysia sebaliknya dalam keadaan genting itu perlu dirujuk Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jika dirujuk Perkara 150 (1) dan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam, maka suatu Proklamasi Darurat boleh dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Darurat besar itu ada tiga iaitu melibatkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam. Penularan Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut. Begitu juga, pergolakan politik kepartian bukannya sejenis darurat keselamatan.

"Darurat keselamatan atau ketenteraman awam adalah seperti Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Begitu juga undi tidak percaya yang menunggu Muhyiddin di Dewan Rakyat yang akan bersidang bermula 2 November ini bukan sejenis darurat keselamatan atau ketenteraman awam.

"Risiko Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November depan jika tidak diluluskan oleh ahli Parlimen bukanlah satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu proklamasi darurat diisytiharkan," jelasnya.

Beliau bimbang dengan cubaan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan di Malaysia.

Hassan berharap Muhyiddin mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati demokrasi dan institusi Parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ke ambang diktator dengan mematikan suara ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14.