KOM optimis anjur dua kejohanan tahun ini

SM Muthu
SM Muthu
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) optimis penganjuran dua kejohanan yang telah dirancangkan diadakan tahun ini, akan dapat diteruskan walaupun pandemik Covid-19 sedang ‘mengganas’ ketika ini.

Dua kejohanan tersebut ialah kejohanan dalaman National Under Distance Trials yang dijadualkan pada 7 November diikuti Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia (11 hingga 13 Disember) di Bukit Jalil.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, penganjuran dua kejohanan itu penting buat atlet negara sebagai persediaan untuk musim 2021 selepas lebih lapan bulan tanpa sebarang kejohanan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak Mac lalu.

“Buat masa ini, kita 70 peratus yakin untuk meneruskan kejohanan National Under Distance pada bulan depan. Jika tiada apa-apa masalah berkenaan Covid-19, kita akan teruskan penganjuran, kalau tidak kita akan membuat perancangan lain.

“Ini juga merupakan platform untuk mencari atlet ke Sukan SEA Vietnam 2021, kerana kita bercadang untuk menghantar lebih ramai atlet muda ke temasya berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Muthu berkata, KOM juga perlu memastikan atlet trek dan padang negara berada pada prestasi terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo, dengan tempoh kelayakan temasya sukan terbesar dunia itu akan bersambung mulai 1 Disember hingga 29 Jun 2021, selepas tertangguh sejak 6 April lalu.

Seramai 28 atlet di bawah Program Podium dan 23 atlet pelapis melibatkan sukan olahraga, sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) sejak 11 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Muthu berkata, pihaknya perlu menganjurkan Terbuka Malaysia untuk memberikan atlet negara peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung mulai 23 Julai 2021 secara merit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, saingan itu dapat membantu atlet negara cuba melakukan catatan had kelayakan ke Sukan Olimpik mengikut acara masing-masing serta memberikan peluang kepada atlet yang berada dalam senarai ranking dunia mengutip mata memperbaiki kedudukan mereka bagi meningkatkan peluang kelayakan mereka.

“Apabila kita namakan sebagai Terbuka Malaysia, atlet luar negara boleh menyertai kejohanan ini tetapi mereka perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan syarat ditetapkan. Contohnya, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Malaysia dan mungkin 14 hari lagi selepas pulang ke negara mereka, jadi itu keputusan mereka (jika mahu menyertai).

Muthu turut menjelaskan bahawa KOM akan mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Keselamatan Negara dan jika tiada penyertaan atlet luar negara, kejohanan akan diteruskan dengan penyertaan atlet tempatan.

Sementara itu, Muthu turut mengesahkan bahawa mesyuarat agung tahunan KOM yang sepatutnya berlangsung esok (24 Oktober) ditangguhkan ekoran PKPB dan tarikh baharu akan ditetapkan selepas perbincangan pada 28 Oktober ini. - Bernama