Mayat warga emas ditemukan dalam perigi

Anggota bomba berusaha menaikkan mayat warga emas yang lemas dalam perigi di Kampung Kerayong hari ini.
Anggota bomba berusaha menaikkan mayat warga emas yang lemas dalam perigi di Kampung Kerayong hari ini.
A
A
A

BERA - Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam sebuah perigi dalam kejadian di Kampung Kerayong di sini hari ini.

Lelaki berusia 63 tahun itu ditemukan dalam perigi di tepi sebuah rumah oleh isterinya kira-kira jam 7.30 pagi dalam keadaan terapung serta tiada kesan kecederaan fizikal.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, warga emas berkenaan tinggal berasingan dengan isterinya yang berusia 54 tahun dan dua anaknya.

"Adik mangsa memberitahu dia mendapati abangnya tiada di tempat tidur dan jiran abangnya itu memaklumkan ada mendengar lelaki terbabit bising di luar rumah pada jam 5.30 pagi.

"Semakan perubatan mendapati lelaki itu mempunyai rekod masalah mental kira-kira lima tahun lalu dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Triang di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati perigi berkenaan hanya ditutup dengan papan reput dan beberapa batu-bata.

"Lelaki tersebut dipercayai mengalihkan dua keping papan dan jatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira tiga meter.

"Ketika kejadian air dipercayai sedalam hampir dua meter," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang, Muhammad Redzuan Rahimpudin berkata, tujuh anggota dan sebuah jentera diketuai ketua operasi, Khairudin Othman bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat tersebut.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan tali untuk menaikkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.

"Operasi tamat pada jam 9.38 pagi," katanya.