X

Kindly register in order to view this article
!

Pakar perlembagaan persoal kewajaran laksana 'darurat'

Tangkap layar ciapan di laman Twitter Wei Jiet.
A
A

SHAH ALAM - Peguam Pakar Undang-undang Perlembagaan, Lim Wei Jiet mempersoalkan kewajaran kerajaan untuk melaksana 'darurat' sedangkan undang-undang sedia ada boleh digunakan.

Menurutnya, Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998, boleh digunakan untuk mengawal keadaan disebabkan penularan koronavirus (Covid-19).

Katanya, Akta 342 itu sendiri telah membenarkan kerajaan untuk menguatkuasakan arahan kuarantin dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Soalan pokok, apa yang tidak boleh ditangani oleh Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 sehingga memerlukan darurat?

“Bab kuarantin, Akta 342 benarkan. Bab isytihar perintah kawalan pergerakan, Akta 342 benarkan. Bab kenakan hukuman kerana langgar perintah berkurung, Akta 342 benarkan.

“Bab kawalan sempadan, Imigresen ada kuasa. Maka soalannya, mengapa perlu pertimbangkan darurat?” soal peguam yang juga aktivis muda itu menerusi ciapannya di laman Twitternya hari ini.

Dalam pada itu, Wei Jiet berkata, hanya dua kali sahaja dalam sejarah Malaysia menyaksikan negara berada di bawah perintah darurat iaitu ketika Konfrontasi Indonesia pada 1964 dan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sehubungan itu katanya, pengisytiharan 'darurat' kali ini paling membimbangkan kerana akan menakutkan pelabur luar negara dan domestik sekali gus memberi kesan lebih teruk kepada ekonomi.

Terdahulu, berdasarkan sumber dan laporan media bahawa mesyuarat Kabinet hari ini dilaporkan bersetuju perlaksanaan 'darurat' bagi membendung penularan Covid-19.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan petang tadi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!