Covid-19: Tiga lagi kluster baharu dilaporkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tiga lagi kluster baharu dilaporkan hari ini di Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster tersebut dikenal pasti sebagai Kluster Samudera dan Kluster Palma dengan kes indeks berpunca daripada hasil saringan bergejala, serta Kluster Jaya dengan kes indeks hasil saringan di tempat kerja.

"Kluster Samudera melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22612) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 20 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini sejumlah lapan individu disaring dengan lapan kes dikesan positif (termasuk dua kes baharu hari ini)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kluster Palma melibatkan daerah Gombak dan Hulu Selangor di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks (iaitu kes ke-20399) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, saringan kontak rapat mengenal pasti 12 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 101 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif Covid-19 (sembilan kes baharu) dan 88 individu masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jaya pula melibatkan daerah Sepang di Selangor dan Seremban di Negeri Sembilan dengan sembilan kes telah dikesan positif setakat hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster itu telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 20 Oktober lepas dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Seramai 48 individu telah disaring manakala 39 lagi masih menunggu keputusan, katanya. -Bernama