X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 710 kes baharu, catat 10 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah kes baharu Covid-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam kekal dengan tiga angka namun menurun sedikit kepada 710 kes, selain merekodkan 10 kematian baharu, iaitu yang tertinggi sejak wabak itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif kini sebanyak 24,514 kes manakala jumlah maut akibat wabak itu sebanyak 214.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula kini adalah 8,416 kes.

“Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 528 kes susulan hasil usaha gigih dalam menjalankan pengesanan kes secara aktif di negeri itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, Selangor mencatat 62 kes baharu diikuti Pulau Pinang dengan 39 kes, Negeri Sembilan (37), Wilayah Persekutuan Labuan (19), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (10) sementara masing-masing empat di Perak dan Johor.

Selain itu dua kes direkodkan masing-masing di Terengganu dan Sarawak serta satu kes masing-masing di Kedah dan Pahang sementara hanya satu kes import yang pulang dari Nepal dicatatkan hari ini.

Mengenai kes kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata, lapan kes direkodkan di Sabah manakala masing-masing satu kes di Kedah dan Labuan.

“Kematian ke-206, 207, 209, 210, 211, 212 dan 213 melibatkan warga tempatan sementara kematian ke-205, 208 dan 214 pula membabitkan warga asing,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 467 kes pulih direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 15,884 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Sabah turut merekodkan jumlah kes pulih tertinggi dengan 246 kes, diikuti Selangor sebanyak 105 kes dan Kedah dengan 74 kes.

Sehingga kini, terdapat 90 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 28 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan turut mengesan tiga lagi kluster baharu iaitu Kluster Samudera di Sabah, Kluster Palma di Selangor dan Kluster Jaya di Selangor serta Negeri Sembilan. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!