X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar dakwa kerajaan guna alasan Covid-19 untuk kekal berkuasa

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbangkan semula keputusan untuk melaksanakan langkah darurat seperti mana yang dilaporkan media.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut adalah untuk menghalang proses Parlimen.

"Hari ini, kita mempunyai kerajaan yang tidak kukuh dan gagal untuk menunjukkan sokongan majoriti dalam Parlimen dan menggunakan isu krisis pandemik koronavirus (Covid-19) sebagai alasan untuk terus kekal berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, ini kerana ia merupakan satu keputusan pendek akal dan mementingkan diri.

"Dengan langkah ini, maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.

"Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak ke belakang," katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan perintah darurat susulan krisis politik dan penularan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: 15 soalan dan jawapan berkaitan darurat

PM menghadap Agong di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota

Spekulasi darurat: Muhyiddin menghadap Agong

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun berkata, beliau belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer ialah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.

"Apa yang kita perlukan dalam mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, bertanggungjawab dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian.

"Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa," katanya.

Jelasnya, sekiranya pengisytiharan darurat dilakukan, negara bakal menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya iaitu sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan dan sedang menggunakan wabak Covid-19 yang memungkinkan penyalahgunaan kuasa.

"Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bilamana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara. Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah ke belakang yang akan memungkinkan kediktatoran," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!