Kita tidak gila kuasa buat pilihan raya negeri, kata Abang Johari

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan mempertimbangkan antara kesihatan awam dan keperluan untuk mendapatkan mandat baharu sebelum mengadakan pilihan raya negeri.

Sebagai Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui kerajaan negeri, beliau berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) telah menimbulkan situasi yang sukar dan rumit untuk beliau memutuskan mengenai pilihan raya negeri kerana setiap faktor perlu diambil kira.

"Saya tertakluk kepada nasihat pakar... terutama mengenai kesihatan (awam). Maksud saya, kita tidak tergila-gila kuasa (untuk mengadakan pilihan raya), (tetapi) apa yang penting ialah perlu ada kerajaan yang mempunyai mandat bukan hanya untuk mengurus Covid-19 (tetapi) untuk menguruskan negara dan ekonomi," katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media di sini hari ini sebagai respons kepada kebimbangan orang ramai mengenai kesesuaian untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam keadaan semasa yang menyaksikan peningkatan jumlah kes Covid-19.

"Bagi kami, kami perlu melihat kedua-dua belah pihak, kerana kami tidak dapat meramalkan, jika (angka harian kes) Covid-19 kita (tetap pada) satu digit dan kami tertakluk pada nasihat Kementerian Kesihatan sama ada boleh atau tidak (mengadakan pilihan raya negeri),” katanya.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, tempoh bagi GPS memerintah negeri ini sebenarnya sehingga April 2021 dengan pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri pada Jun.

Beliau berkata, meneliti perkembangan di negara-negara seperti New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan Myanmar yang telah mengadakan pilihan raya walaupun masih menghadapi ancaman Covid-19.

Pada masa yang sama, beliau mengakui keadaan Covid-19 di Sabah setelah pilihan raya negeri tetapi menegaskan bahawa situasi Sarawak untuk mengadakan pilihan raya berbeza daripada negeri jirannya itu.

Artikel Berkaitan:

“Sabah berbeza, tetapi saya tidak mahu seperti di Sabah kerana kesihatan rakyat juga penting. Pada masa yang sama kita juga memerlukan mandat,” katanya.

GPS dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 apabila PBB dan tiga parti lain yang berpangkalan di Sarawak - Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) - memutuskan untuk keluar Barisan Nasional dan membentuk gabungan sendiri. - Bernama