MTUC ambil serius laporan pekerja dihalang ke pejabat

Laporan muka depan Sinar Harian hari ini. Gambar kecil:Mohd Effendy Abdul Ghani
Laporan muka depan Sinar Harian hari ini. Gambar kecil:Mohd Effendy Abdul Ghani
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) memandang serius laporan majikan yang mendakwa terdapat pekerja dihalang ke pejabat ketika melalui sekatan jalan raya oleh pihak polis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihak berkuasa seharusnya memberikan keutamaan kepada pekerja yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Perkara berkenaan sewajarnya dipermudahkan kerana mereka diarahkan bekerja dan ketidakhadiran berkemungkinan boleh menjejaskan pendapatan atau operasi majikan.

“MTUC percaya bahawa keadaan yang berlaku disebabkan kurangnya koordinasi dan komunikasi di antara stake holder (pemegang taruh) iaitu tafsiran dan pemahaman dalam menjalankan sekatan tidak konsisten.

“Ada sekatan dijalankan mengikut undang-undang dan ada mengikut budi bicara boleh menyebabkan berlaku kekeliruan di peringkat pekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Disebabkan itu, Mohd Effendy berkata, keadaan tersebut memberi implikasi kepada pekerja dan majikan untuk menjalankan operasi.

Justeru, Effendy menyeru Majlis Keselamatan Negara (MKN) memastikan garis panduan tidak mengelirukan mana-mana pihak dan konsisten.

“MTUC juga memohon semua pekerja yang diarahkan bekerja dalam tempoh PKPB ini supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta sentiasa membawa surat daripada majikan sebagai pengesahan.

Artikel Berkaitan:

“Pandemik Covid-19 merupakan satu gejala masalah kesihatan yang perlu dibendung oleh semua pihak

“Kami menghormati semua langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan serta agensi berkaitan bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini,” jelasnya.

Kelmarin, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dilaporkan menerima beberapa aduan berhubung pekerja sektor swasta yang bukan daripada bahagian pengurusan dan penyeliaan yang perlu bekerja diarah pulang oleh pihak polis dan tentera.

ARTIKEL BERKAITAN: MEF terima aduan polis arah pekerja pulang ke rumah

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta penyeliaan di zon merah di kawasan penguatkuasaan PKPB diwajibkan bekerja di rumah berkuat kuasa semalam.

Arahan tersebut meliputi satu juta kakitangan di kedua-dua sektor di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah untuk mengekang penularan dan kewujudan kluster baharu koronavirus (Covid-19) di tempat kerja.

Bagaimanapun, perincian pelaksanaan arahan itu tidak dinyatakan sebaliknya memaklumkan maklumat lanjut akan dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi sektor awam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk sektor swasta.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada halangan jika tunjuk kad kerja, surat majikan