Usaha Ahli Parlimen Sabah kuarantin 14 hari sia-sia jika darurat

Foong Hin menjalani ujian calitan sebelum dikuarantin di Kuala Lumpur sebelum menghadiri sidang Parlimen yang dijadualkan 2 November depan.
Foong Hin menjalani ujian calitan sebelum dikuarantin di Kuala Lumpur sebelum menghadiri sidang Parlimen yang dijadualkan 2 November depan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, menganggap usaha beliau menjalani kuarantin selama hampir dua minggu di Kuala Lumpur sebelum menghadiri persidangan Parlimen adalah sia-sia sekiranya diumumkan darurat seperti yang digembar-gemburkan sejak tadi.

Beliau ketika dihubungi berkata, pelbagai versi khabar angin diterima sejak pagi tadi berhubung pelaksanaan darurat bagaimanapun sehingga kini masih tidak mengetahui apa yang mungkin akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak mahu usaha kuarantin 14 hari yang dilakukan ahli-ahli Parlimen dari Sabah termasuk saya di Kuala Lumpur menjelang persidangan Parlimen pada 2 November ini sebagai sia-sia saja.

"Saya tidak berminat datang Kuala Lumpur semata-mata untuk tidur di hotel semata-mata. Saya mahu menjalankan tugas rasmi ahli Parlimen untuk menyampaikan suara rakyat di Parlimen," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Sabah berkata, jika Muhyiddin mahu melakukan darurat untuk menggantung Parlimen ia tidak wajar buat masa ini.

"Bagi saya kalau mahu melakukan darurat kerana keadaan pandemik koronavirus (Covid-19) yang kita hadapi, sebenarnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sudah cukup.

"Tetapi kalau tujuan untuk menggantung Parlimen dan ahli Parlimen sudah datang ke Kuala Lumpur ini tidak patut. Parlimen sepatutnya boleh diteruskan mungkin menerusi secara dalam talian.

"Dia (Muhyiddin) tidak perlu takut, bagi saya tiada satu parti pun mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika menghadapi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada dalam kalangan mereka jadi musuh dalam selimut yang mahu boikot bajet tetapi saya tidak rasa ada parti mahu lakukan pembubaran dan beliau (Muhyiddin) tidak perlu terlalu berlebihan sehingga melakukan darurat," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang bahawa perlu diadakan persidangan secara maya bagi ahli Parlimen dari Sabah bagi mengelak mereka datang ke Kuala Lumpur dan terpaksa kuarantin di hotel selama 14 hari.

Foong Hin berkata, dia kini sudah menjalani kuarantin selama sembilan hari di hotel yang disediakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebaik tiba dari Sabah pada 15 Oktober lalu.