X

Kindly register in order to view this article
!

Lagi 18 pelajar STIAS positif Covid-19

Seramai 60 orang warga STIAS Senawang disahkan positif Covid-19 setakat hari ini.
A
A

SEREMBAN - Seramai 18 pelajar dan lapan kakitangan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS), Senawang disahkan positif koronavirus (Covid-19) hari ini.

Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan setakat ini adalah sebanyak 60 orang di mana 33 daripadanya disahkan positif semalam dan seorang lagi pada Selasa lalu.

Pengerusi pengelola STIAS, Abdullah Abdol Razak berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada pihak sekolah hari ini.

"Sehubungan itu, atas nasihat pihak KKM, pihak sekolah telah mengambil tindakan yang terbaik dengan menempatkan para pelajar yang positif di bilik khas yang berasingan daripada para pelajar dan guru yang masih menunggu keputusan, begitu juga segala kemudahan harian mereka turut diasingkan.

"Untuk makluman, kesemua pelajar harian yang tidak menetap di asrama juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di sekolah sementara menunggu keputusan ujian saringan bagi mengelakkan jangkitan ini tersebar ke luar kawasan sekolah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, pihak sekolah ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Yayasan Sofa dan Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM) yang banyak membantu dalam memastikan kebajikan pelajar dan guru-guru terjaga.

Beliau berkata, pihak yayasan dan MUTUM bukan sahaja memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk semua yang dikuarantin, malah mengambil inisiatif menghantar bekalan makanan kepada ahli keluarga warga kerja sekolah yang melakukan kuarantin di rumah mereka.

"Buat masa ini segala keperluan asas termasuk bekalan makanan kepada pelajar, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman juga mencukupi hasil daripada bantuan ibu bapa pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

"Pihak sekolah akan terus mengikuti segala langkah-langkah yang disyorkan KKM dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dengan mengambil langkah penjagaan lebih ketat untuk mengelakkan penyebaran wabak ini," katanya.

Abdullah berkata, sepanjang tempoh kuarantin, pihak sekolah terus menyusun rutin harian pelajar yang mana mereka akan solat secara berjemaah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakkan sosial, mengulang hafalan al-Quran dan mengulangkaji pengajian akademik di tempat masing-masing.

Katanya, pihaknya turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat terhadap ujian yang berlaku dan memohon agar orang ramai sentiasa mendoakan kesembuhan serta kebaikan para pelajar.

Semalam Sinar Harian melaporkan pengelola sekolah itu mengesahkan seramai 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Menerusi Facebook Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Seremban 'Tahfiz & Qiraat', pihaknya menerusi kenyataan pengerusinya, Abdullah Abdol Razak memberitahu keputusan tersebut diperolehi hasil daripada ujian saringan yang telah dibuat terhadap seluruh warga kerja dan pelajar sekolah itu berikutan salah seorang pelajarnya didapati positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: STIAS sahkan 33 pelajarnya positif Covid-19


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!