X

Kindly register in order to view this article
!

Segera lancar rangsangan ekonomi baharu: Najib

Hantaran Facebook Najib yang mengulas mengenai kesan gelombang ketiga penularan Covid-19 kepada ekonomi negara.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera melancarkan pakej prihatin dan rangsangan ekonomi kedua bagi menghadapi tekanan ekonomi yang disebabkan oleh gelombang ketiga penularan koronavirus (Covid-19).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara perlu bersedia untuk berdepan risiko kemerosotan ekonomi yang jauh lebih parah berbanding ramalan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kita perlu ingat bahawa andaian dan ramalan pertumbuhan ekonomi dari BNM dan kerajaan bagi tahun ini sudah beberapa kali terbukti terlalu optimistik dan terpaksa diturunkan kemudian.

“Keadaan dirumitkan lagi dengan tamatnya pelbagai bantuan dan insentif dalam pakej Prihatin negara yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.

“Gelombang ketiga yang masih tinggi ketika ini serta PKP di Lembah Kelang dan Sabah memberi kesan yang parah kepada ekonomi Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Ulasnya lagi, kebanyakan rakyat kini masih tidak berani untuk keluar mengunjung dan berbelanja walaupun mereka dibenarkan untuk bekerja dan pasar raya serta restoran.

Justeru, beliau yang juga pernah menjadi Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu bertindak lebih daripada hanya sekadar memikirkan untuk menjaga defisit negara sekiranya mahu mengelakkan berlaku kemerosotan ekonomi yang lebih teruk.

Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan penurunan kadar eksport Malaysia berikutan daripada impak penularan Covid-19 gelombang ketiga yang mula dirasai oleh negara di seluruh dunia.

“Jumlah kes baharu Covid seluruh dunia kini mencecah 470,000 setiap hari iaitu sekitar 20 kali ganda berbanding ketika negara mula melaksanakan PKP pada Mac lalu.

“Gelombang ketiga yang sedang menimpa kebanyakan negara barat juga berkali ganda lebih teruk berbanding awal tahun ini semasa mereka melaksanakan lockdown.

“Keadaan dijangka bertambah teruk menjelang musim dingin utara kerana Covid lebih mudah berjangkit semasa cuaca sejuk dan perkara itu akan memaksa negara-negara barat untuk melaksanakan perintah berkurung yang lebih ketat tidak lama lagi,” jelasnya.

Pada Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ekonomi Malaysia mula memaparkan tanda-tanda awal pemulihan sejak Jun lepas berikutan pembukaan perniagaan secara beransur-ansur mulai 4 Mei 2020 selepas terjejas teruk akibat impak Covid-19.

Dalam laporan yang sama, BNM juga telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama empat minggu berbanding tujuh minggu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!