Speaker DUN Perak tak terima usul luar biasa

Mohammad Zahir (tengah) pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Ipoh hari ini.
Mohammad Zahir (tengah) pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung pada 27 Oktober ini tidak akan membahaskan sebarang usul luar biasa.

Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang usul daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga 13 Oktober lalu.

Menurutnya, mengikut Perintah-perintah Tetap DUN Perak, sebarang usul yang ingin dibawa ke Dewan mesti dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan.

"Apa-apa usul yang nak dibawa sama ada tergempar atau tidak tergempar mestilah mengikut peraturan Perintah-perintah Tetap yang ada dan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri. Saya tertakluk kepada perkara itu.

"Saya sudah berjumpa dengan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari dua hari lalu, setakat ini tiada apa-apa yang disampaikan kepada Pejabat Speaker DUN Perak," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mohammad Zahir berkata, Sidang DUN Perak kali ini akan membentangkan satu Rang Undang-undang iaitu Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 iaitu berkaitan Perkara 30.

Katanya, selain itu juga, sidang kali ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz akan mengangkat sumpah jawatan sebagai wakil rakyat mengikut Perkara 47 (Bahagian Pertama) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Jelas beliau, seperti kelaziman, sesi soalan lisan akan turut berlangsung dalam tempoh sejam 30 minit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammad Zahir berkata, persidangan selama sehari itu juga berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat apabila kesemua ADUN, wakil jabatan, urus setia dan petugas media yang hadir di dalam Dewan perlu menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, liputan media hanya dibenarkan kepada media rasmi sahaja iaitu Bernama dan RTM.