Bayi masih bertali pusat ditemui dalam kotak

Bayi yang diletakkan dalam kotak itu masih bernyawa dan dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam sekitar jam 9 pagi tadi.
Bayi yang diletakkan dalam kotak itu masih bernyawa dan dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam sekitar jam 9 pagi tadi.
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Seorang bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Bendahara berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar, di sini pagi tadi.

Bayi yang diletakkan di dalam kotak itu masih bernyawa dan dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam sekitar jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemilik kedai berkenaan mendengar bunyi tangisan bayi ketika mahu membuka operasi perniagaan.

"Peniaga itu kemudiannya memeriksa kandungan kotak yang diletakkan di kaki lima kedainya dan menemui bayi lelaki masih hidup.

"Bayi itu masih bertali pusat, diletakkan di dalam kotak dengan keadaan beralaskan sehelai tuala," katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, bayi malang itu berkemungkinan dilahirkan kurang 24 jam sebelum dibuang.

"Keadaan bayi ketika ini agak tidak stabil kerana dilahirkan tidak cukup bulan dan kini ditempatkan di Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan ibu bayi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi," katanya.

Dalam pada itu, pemilik kedai, Mohamad Kamal Ashari, 25, berkata, pada mulanya peniaga-peniaga di situ menyangka kotak terbabit mengandungi anak kucing.

Bagaimanapun katanya, sebaik mendengar tangisan bayi, mereka mula curiga dan membuka penutup kotak terbabit.

"Penduduk setempat memang suka membuang kucing di kawasan ini sebab itu kami tak syak apa-apa walaupun ada yang sudah nampak kotak ini dari jam 7 pagi lagi.

"Mujurlah dengar tangisan, namun bunyinya sangat perlahan, rupa-rupanya bayi itu tertutup dengan tuala yang masih ada kesan darah," katanya.