Negeri Sembilan anjur solat hajat henti Covid-19

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN- Semua masjid dan surau di Negeri Sembilan akan mengadakan solat bagi hajat menghentikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) bermula hari ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu buat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19 yang berlangsung pagi tadi.

"Solat hajat itu bagi memohon perlindungan dan pemeliharaan daripada ALLAH SWT agar kita dijauhi daripada Covid-19 ini serta menghentikan wabak ini.

"Pada masa sama kita akan mengadakan mesyuarat JKKN Khas Covid-19 ini lebih kerap mengikut keperluan memandangkan terdapat trend peningkatan kes yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat JKKN Khas Covid-19 yang berlangsung pagi tadi.
Mesyuarat JKKN Khas Covid-19 yang berlangsung pagi tadi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, menerusi mesyuarat sama, pihaknya turut memutuskan program-program di Negeri Sembilan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bermula Isnin ini (26 Oktober ) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

" Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) bagi majlis perkahwinan juga wajib dipatuhi dan jadual kehadiran ke majlis tersebut perlu diwujudkan.

"Malah tempoh waktu sesebuah majlis dilakukan juga dinasihatkan untuk dipanjangkan bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP solat Jumaat dan jemaah digalakkan untuk membawa sejadah sendiri sama ada ketika solat Jumaat mahupun solat fardu.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada masyarakat negeri ini, agar mendapatkan maklumat dan berita melalui sumber yang sahih supaya tidak menimbulkan keadaan panik dengan penyebaran berita palsu, tidak tepat atau berunsur spekulasi," katanya.