ESSCom beri amaran kepada tekong darat

Ahmad Fuad Othman
Ahmad Fuad Othman
A
A
A

LAHAD DATU - Tekong darat yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan sama ada membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI), rokok atau dadah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diberi amaran keras supaya menghentikan kegiatan itu.

Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang bertindak sebagai tekong darat dan dipercayai terlibat dengan aktiviti jenayah itu.

"Tekong darat yang berada di ESSZone terutamanya di semua kawasan 'hotspot', supaya menghentikan kerja ini, kita ada rancangan untuk mendakwa sesiapa yang ditangkap.

"Kalau ada lagi aktiviti ini berlaku, tolong hentikan perkara ini.

"Ini saya bagi amaran serius, kita telah pun mengenal pasti beberapa individu dalam senarai ESSCom untuk diambil tindakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ESSCom melalui Op Cegah Pati (OCP) akan sentiasa mempertingkatkan dan memperketatkan kawalan serta rondaan sama ada melalui laut, darat dan udara terutamanya di kawasan yang telah dikenal pasti.

"ESSCom akan merencanakan operasi yang ada berdasarkan kepada jumlah aset dan keanggotaan yang kita ada buat masa ini dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada semua lapisan masyarakat agar melaporkan dengan segera kepada pusat operasi ESSCom atau ibu pejabat polis yang berhampiran sekiranya terdapat aktiviti penyeludupan PATI di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat amat dialu-alukan dalam usaha untuk mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan di pantai timur Sabah sama ada penyeludupan migran atau PATI, rokok dan syabu," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, enam PATI ditahan selepas didapati cuba menyeludup masuk rokok putih bernilai RM4.8 juta di perairan Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan.