Anggota Perhilitan dipatuk ular kapak beransur pulih

Keadaan Muhammad Imran (kiri) yang beransur pulih ketika ditemui Pegawai Perhilitan, Abdul Malek Khairi Zahari di Hospital Setiu hari ini.
FOTO: Ihsan Perhilitan Terengganu
Keadaan Muhammad Imran (kiri) yang beransur pulih ketika ditemui Pegawai Perhilitan, Abdul Malek Khairi Zahari di Hospital Setiu hari ini. FOTO: Ihsan Perhilitan Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU – Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu yang cedera selepas dipatuk ular kapak di Hutan Simpan Sekayu semalam kini beransur pulih.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, sebelum kejadian Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, sedang melakukan kerja-kerja rutin bersama sembilan lagi anggota lain di Hutan Simpan Sekayu.

Menurutnya, anggotanya itu dihantar ke hospital berkenaan dengan ambulan pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Berang.

“Keadaan beliau kini beransur pulih dan telah menunjukkan banyak perubahan positif selepas menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Malek berkata, Muhammad Imran Khasimin yang berada di hadapan untuk merintis jalan di hutan berkenaan dipatuk ular pada bahagian pergelangan kaki kiri.

“Sebaik menyedari beliau dipatuk ular, rakan sepasukan yang lain menghubungi markas operasi untuk keluar daripada kawasan hutan,” katanya.

Abdul Malek berkata, anggota daripada markas operasi tiba sejurus selepas itu dan memberikan bantuan awal dengan membawa mangsa keluar daripada kawasan hutan menuju ke kawasan yang mempunyai akses kenderaan.

Menurutnya, dalam masa yang sama pasukan berkenaan turut menghubungi bomba bagi mempercepatkan operasi membawa mangsa ke hospital.

Artikel Berkaitan:

“Jarak antara lokasi kejadian dengan kawasan yang boleh diakses masuk kenderaan sekitar 3.2 kilometer (km). Pasukan kita telah membawa mangsa keluar sejauh 1.6km sebelum bertemu pasukan bomba.

“Kerja-kerja membawa keluar anggota perhilitan yang cedera itu selesai jam 8.30 malam dan beliau terus dibawa ke Hospital Setiu.

“Pihak Perhilitan mengucapkan terima kasih atas bantuan pihak bomba bagi mempercepatkan lagi urusan membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bomba selamatkan kakitangan Perhilitan dipatuk ular kapak