Keyakinan Tun M suntik semangat penjawat awam

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
A
A
A
LANGKAWI - Keyakinan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keadaan jentera perkhidmatan kerajaan sekarang akan dapat menyuntik semangat penjawat awam untuk memberikan komitmen jitu melaksanakan dasar kerajaan baharu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, berkata perdana menteri telah menyuarakan kepercayaannya itu semasa perjumpaan bersama-sama pegawai-pegawai kanan kerajaan di sini, Sabtu lalu.

“Beliau (Dr Mahathir) melihat situasi jentera perkhidmatan kerajaan pada masa kini semakin baik dan usaha untuk memperbaiki jentera perkhidmatan kerajaan masih terus dijalankan bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa cekap, amanah, berintegriti dan cemerlang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Program Ramah Mesra Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Kedah selama dua hari di sini yang berakhir hari ini.

Program tersebut melibatkan aktiviti menziarahi beberapa pesara uzur selain pesara yang menjadi pengusaha motel dan inap desa.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Borhan berkata, JPA bersama persatuan-persatuan pesara kerap mengadakan program turun padang untuk berkongsi dasar-dasar serta isu-isu semasa berkaitan penambahbaikan hal ehwal persaraan dan kesejahteraan golongan pesara.

“JPA sentiasa memberi bantuan dan sokongan kepada persatuan-persatuan ini bagi menjaga hal ehwal kebajikan golongan pesara yang selama ini banyak berjasa kepada negara,” katanya. - Bernama