Isu pencemaran air: Bagaikan tiada kesudahan

Krisis pencemaran sumber air mentah yang beberapa kali dilaporkan di Selangor menimbulkan kesukaran dan kesulitan kepada pengguna. - Foto Bernama
Krisis pencemaran sumber air mentah yang beberapa kali dilaporkan di Selangor menimbulkan kesukaran dan kesulitan kepada pengguna. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagaikan tiada berkesudahan, satu demi satu episod pencemaran sumber air mentah berlaku di Selangor.

Baru sahaja kira-kira sebulan penduduk sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air mentah tidak berjadual akibat pencemaran Sungai Selangor yang berlaku pada awal September lepas, rakyat kini sekali lagi terpaksa berhadapan situasi yang sama.

Isnin lepas (19 Oktober), Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada kira-kira pukul 2.00 pagi.

Henti tugas keempat-empat loji itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Kerjasama dua hala

Gangguan bekalan air yang berlaku di saat rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Okt lepas, pastinya menambah gundah di hati penduduk yang terjejas di samping rasa marah dan muak dengan insiden berulang ini.

Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan ia benar-benar menyusahkan rakyat.

Ramai dalam kalangan warganet meluahkan rasa kesal bahkan memerli pihak berkuasa yang terlibat. Antara ciapan yang tular di Twitter termasuklah, "Air Selangor tak nak cuba cari Ustaz untuk rawat ke? Asyik kena gangguan je".

Artikel Berkaitan:

Sehingga Rabu (21 Oktober), sejumlah 1,077 kawasan atau 83 peratus daripada 1,292 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya setakat 6 pagi.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu mempertingkatkan kerjasama dengan pakar forensik alam sekitar di universiti dalam menangani isu sungai yang terlibat dengan pencemaran industri.

“Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar di UPM telah mewujudkan Institut Forensik Alam Sekitar bagi tujuan mempelopori kajian dan mengenal pasti kitaran bahan cemar.

“Menerusi kerjasama dan perkongsian sumber yang dicadangkan ini, kepakaran di universiti boleh membantu daripada segi menganalisis bahan cemar di lapangan menggunakan kaedah saintifik yang diperakui mengikut piawaian antarabangsa serta menjalankan proses pemadanan sampel bahan dengan senarai data dalam inventori pihak berkuasa agar penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dapat dilaksanakan secara lebih efektif.

“Ini secara langsung dapat membantu mempercepatkan proses pendakwaan di mahkamah terhadap pesalah dan seterusnya memberi mesej bahawa mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Mohd Yusoff pada masa sama turut mencadangkan agar keupayaan peralatan seperti makmal yang lebih canggih dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air dapat dipertingkatkan sejajar perkembangan teknologi semasa di samping bertujuan menangani kelicikan penjenayah alam sekitar dalam menutup ‘jejak’ mereka.

"Selain isu proses pendakwaan pesalah alam sekitar di mahkamah yang memakan masa terlalu lama, kita turut berhadapan isu tahap teknologi serta sains bidang forensik alam sekitar di Malaysia yang dilihat masih jauh ketinggalan berbanding bidang kesihatan awam contohnya untuk menangani isu pencemaran ini.

"Kerajaan perlu mempertingkatkan kemudahan makmal dan peralatan dalam membantu mengesan unsur bahan cemar memandangkan kehadiran pelbagai jenis bahan kimia generasi baharu. Selain itu, faktor iklim yang panas dan lembap di negara ini turut menjadi cabaran kepada agensi dalam memastikan keutuhan sampel yang diambil untuk dianalisa,” katanya sambil menambah kerjasama melibatkan perkongsian data analisa serta penggunaan kaedah terkini dalam mengenalpasti bahan cemar seperti yang digunakan pakar di universiti boleh membantu pihak berkuasa.

Turut menyifatkan usaha kerajaan Negeri Selangor yang memperuntukkan RM2 juta untuk menggunakan perkhidmatan empat buah dron berteknologi tinggi bermula November depan sebagai antara langkah terbaik bagi memantau salahlaku melibatkan alam sekitar, beliau bagaimana pun berkata ia perlu berbalik kepada persoalan bagaimana sampel air yang diambil oleh dron berkenaan boleh dijadikan bahan bukti semasa mendakwa individu pencemar alam di mahkamah.

Pinda segera akta

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) kepada kerajaan pada 7 September lepas, dengan menambah klausa baharu untuk membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas.

“Setakat ini, denda bagi bahan bukan toksik adalah tidak melebihi RM 100,000 manakala bagi sisa toksik pula tidak melebihi RM 500,000 dengan kedua-dua denda ini juga boleh dikenakan bersama-sama hukuman penjara. Kerajaan juga boleh menuntut kos pembersihan disebabkan oleh pencemaran. Denda asas perlulah menghampiri kos pencemaran sebenar.

"Bagi saya, tambahan klausa dalam AKAS 1974 untuk membolehkan para pengguna (industri, komersil dan domestik) menuntut ganti rugi dan dapat meningkatkan jumlah denda dengan mendadak. Perkara ini boleh dibangkitkan pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan dapat mewujudkan rizab kawasan tadahan khusus untuk sungai-sungai memandangkan ia juga sebahagian daripada sistem saliran negara.

“Semua longkang pun pada akhirnya bersambung kepada sungai dan dilepaskan ke laut. Ini konsep pelarutan (dilution). Apabila ada individu tidak bertanggungjawab melepaskan sisa terus ke longkang atau sungai, pencemaran berskala besar boleh berlaku dan mengakibatkan rantaian masalah seperti apa yang berlaku sebelum ini,” jelasnya.

Serah kad laporan

Turut meluahkan rasa kesal terhadap kejadian yang berlaku, Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk M Ali berkata pihak berkuasa terlibat dilihat bagaikan 'memandang sepi' dan tidak mengambil berat pelaksanaan langkah proaktif dalam menangani isu pencemaran sungai dan gangguan bekalan air.

Menurut beliau, sudah tiba masanya pihak berkuasa dan agensi bertanggungjawab yang menguruskan sistem sumber air untuk Selangor menyerahkan kad laporan lengkap mengenai bencana berulang ini kepada penduduk terjejas agar mereka maklum akan tindakan susulan yang diambil.

"Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada sistem rantaian bekalan air terutama di Selangor? Pihak berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor selain Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga masih belum tampil untuk mengambil alih hak dan tanggungjawab untuk menangani isu ini.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan KASA pula sekurang-kurangnya atas dasar moral, boleh mengambil tanggungjawab menyiapkan kad laporan ini.

"Menerusi kad itu, rakyat perlu didedahkan sekurang-kurangnya dengan maklumat seperti jumlah bencana sekurang-kurangnya dalam tempoh lima atau 10 tahun terakhir, punca-punca bencana, siapa yang bertanggungjawab, apakah tindakan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab serta langkah pencegahan yang telah diambil atau dilaksanakan bagi setiap bencana yang berlaku," katanya.

M Ali antara lain turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan pasukan Royal Commission of Inquiry (RCI) bagi mengatasi isu gangguan bekalan air kerana beliau difahamkan sudah 18 kali gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Lembah Klang sejak awal tahun ini.

Sultan Selangor dukacita

Isu gangguan bekalan air yang berlaku turut mendapat perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada Isnin (19 Oktober) Bernama melaporkan Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita baginda dengan keluhan dan nasib rakyat yang berhadapan masalah gangguan bekalan air ketika sedang bergelut dengan wabak koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin pada 8 September lepas telah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung masalah gangguan bekalan air yang sering melanda Selangor.

“Dalam surat berkenaan baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya tidak memberi kesan kerana masalah sama terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang Sultan Sharafuddin kasihi,” katanya.

Menurut Muhamad Munir, sejak 2009 Sultan Sharafuddin telah beberapa kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor agar masalah air tidak dipolitikkan dan di atasi segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat. - Bernama