Dua rakan mengaku tidak bersalah miliki RM1.03 juta hasil rompak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki wang lebih RM1.03 juta yang dirompak secara berkumpul pada Jumaat minggu lalu.

Teh Han Shyang, 31 dan Lok Jun Siang, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa memiliki wang tunai sebanyak RM1,033,200 milik seorang ahli perniagaan, Eng Ching Huang, 36, di parkir Arkadia, Desa Park City di Kepong di sini kira-kira jam 2.30 petang, 16 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM12,000 seorang.

Bagaimanapun, peguam, Khairulamin Abdullah yang mewakili Han Shyang, manakala Nor Azri Mohd Arif bagi pihak Jun Siang merayu jumlah supaya kadar jaminan diberikan kurang RM6,000 kerana anak guam masing bekerja di pasar pagi dan sebagai pemandu e-hailing.

Izralizam yang membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis terdekat turut menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: